Type Here to Get Search Results !

Kajian Kes : Intervensi Kekuatan dan Kelemahan Yang Mempengaruhi Tahap Prestasi Kemahiran Motor Halus Kepada Kanak-Kanak Mikrosefali


Kajian Kes : Intervensi Kekuatan dan Kelemahan Yang Mempengaruhi Tahap Prestasi Kemahiran Motor Halus Kepada Kanak-Kanak Mikrosefali


1.0 PENDAHULUAN

Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001. Menurut World Health Organization (WHO, 2011) Orang Kurang Upaya (OKU) dianggap sebagai “Orang Kurang Upaya yang memenuhi kriteria dalam takrif seperti mempunyai kecacatan fizikal atau mental, jangka panjang atau pendek dan tidak mempunyai hak yang sama di dalam bidang kesihatan, pendidikan dan peluang pekerjaan”. 

Manakala di Malaysia, menurut Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008, Orang Kurang Upaya (OKU) didefinasikan sebagai "seseorang yang mempunyai kekurangan jangka panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat". 

     Dalam konteks Malaysia menurut Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengklasifikasikan Orang Kurang Upaya (OKU) kepada tujuh kategori iaitu kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan sama ada buta atau penglihatan yang terhad, kurang upaya fizikal iaitu seseorang yang mengalami ketidakupayaan anggota badan, masalah pembelajaran iaitu seseorang yang mengalami masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikalnya, Mereka yang tergolong dalam kategori ini ialah lembam, down syndrome, kurang upaya intelektual, autisme, Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD), masalah pembelajaran spesifik (dyslexia, dyscalculia, dygraphia) dan lewat perkembangan global (global development delay). Kurang upaya pertuturan iaitu individu yang mengalami masalah pertuturan tetapi boleh mendengar, kurang upaya mental dan kurang upaya pelbagai iaitu individu yang mengalami lebih daripada satu jenis ketidakupayaan dan secara umumnya tidak sesuai diklasifikasikan di bawah mana-mana lima kategori lain yang sedia ada. 

     Bahagian ini memfokuskan kepada kajian kes dimana pengkaji dikehendaki untuk memilih seorang kanak-kanak di ____ untuk dijadikan sebagai klien. Sebelum memilih seorang klien, pengkaji telah membuat pemerhatian selama 2 minggu di sebuah kelas yang mana mempunyai 7 orang pelatih berumur lingkungan 11 sehingga 18 tahun. 

Pengkaji memilih untuk ditempatkan di kelas kerana kelas ini terdiri daripada  pelatih termuda sekali berbanding kelas mahupun bahagian yang lain. Setelah membuat pemerhatian selama 2 minggu, pengkaji telah memilih seorang klien yang mengalami masalah Mikrosefali. 

Pengkaji telah menjalankan kajian kes selama enam (6) minggu untuk melihat tahap prestasi klien berdasarkan intervensi yang telah dibuat. Hasil perbincangan dengan penyelia lapangan dan jurulatih pengkaji telah menjalankan kajian kes yang bertajuk “Intervensi Kekuatan dan Kelemahan Yang Mempengaruhi Tahap Prestasi Kemahiran Motor Halus Kepada Kanak-Kanak Mikrosefali”.

1.1 Mikrosefali

Mikrosefali adalah keadaan di mana kepala bayi lebih kecil daripada yang dijangkakan. Semasa bayi dalam kandungan ibu, otak bayi membesar seiring dengan kepala bayi. Namun, Mikrosefali boleh berlaku kerana otak bayi belum berkembang dengan sempurna semasa kehamilan atau berhenti tumbuh selepas kelahiran, yang mengakibatkan saiz kepala yang lebih kecil. 

Mikrosefali juga dikaitkan dengan Sindrom Down, Sindrom Kromosom, dan Sindrom Neurometabolik (National Birth Defects Prevention Network, 2013). Manakala menurut Alexander dan rakan-rakanya (2016) mendefinisikan Mikrosefali sebagai kecacatan kongenital di mana otak tidak mempunyai perkembangan yang tepat yang mana lilitan kepala bayi yang baru lahir adalah dua penyimpangan standard (two standard-deviations) di bawah purata bagi umur dan seks yang diberikan.

1.2 Kemahiran Motor

Menurut Doherty dan Brennan (2008), permainan yang melibatkan pergerakan motor halus dan motor kasar adalah suatu proses pembelajaran melalui pengalaman dalam pelbagai situasi. Oleh itu, aktiviti yang melibatkan fizikal dapat meningkatkan perkembangan motor halus dan kasar kanak-kanak kerana ia melibatkan pergerakan otot-otot kasar dan halus. 

Kemahiran motor halus adalah melibatkan kemahiran manipulatif otot-otot kecil seperti menggenggam, mengoyak, menggunting, meramas, menggentel dan menguli. 

Kemahiran motor halus sangat penting untuk kanak-kanak mempelajari konsep-konsep asas seperti menjalankan tugas-tugas harian. Contohnya membutang baju, memegang pensel, mengikat tali kasut dan sebagainya. 

Manakala kemahiran motor kasar melibatkan kemahiran manupulatif otot-otot kasar pada seluruh badan seperti melompat, berlari dan memanjat. Menurut Doherty dan Brennan (2008) juga, koordinasi mata dan tangan digunakan seiring  dengan pergerakan motor untuk mengawal pergerakan.

       Dalam kajian ini pengkaji berfokus kepada kemahiran motor halus klien melalui aktiviti menebuk lubang kad manila, mengasingkan pompom menggunakan penyepit (pompom pickup) dan meregangkan getah di luar botol (stretching getah). 

Kemahiran motor halus adalah pergerakan yang melibatkan bahagian otot kecil sebagai otot utama iaitu jari. Kemahiran ini dapat dilihat sekitar lingkungan satu (1) tahun di mana kanak-kanak sudah dapat memegang objek, menggenggam sudu, mengambil ketulan makanan atau memindahkan objek dari satu tempat ke satu tempat yang lain. 

Oleh itu, kajian ini sesuai dijalankan oleh klien kerana untuk meningkatkan kebolehan klien dalam melakukan aktiviti harian dengan lebih baik, kemahiran motor halus harus dikuasai terlebih dahulu
(Shamsulariffin dan rakan-rakannya, 2015).

        Dalam kajian yang dijalankan oleh Arasoo (1989) menyatakan bahawa terdapat dua faktor yang mengawal kemahiran motor iaitu sikap atau persekitaran dan faktor genetik termasuk perkembangan sistem saraf pusat dan fungsi neurologikal. 

Oleh itu, pengkaji menjalankan intervensi yang mana boleh mengenal pasti kekuatan dan kelemahan klien semasa menjalankan aktiviti kemahiran motor halus. Hal ini demikian kerana kemahiran motor yang sangat rendah pada kanak-kanak Mikrosefali mungkin disebabkan oleh faktor-faktor yang dinyatakan itu.

1.3 Penyataan Masalah

Dalam kajian ini pengkaji melihat bahawa kemahiran motor yang lemah dalam kalangan kanak-kanak kurang upaya menjadi salah satu sebab kepada masalah pembelajaran dan masalah perkembangan yang lain kerana perkembangan motor halus adalah suatu yang sukar untuk dilihat secara langsung dan memerlukan kajian yang mendalam untuk mengukur tahap perkembangan motor kanak-kanak. 

Setiap kanak-kanak mempunyai perkembangan motor halus yang berbeza sama ada kanak-kanak itu adalah normal ataupun kurang upaya. Hal ini demikian kerana perkembangan motor halus mahupun motor kasar adalah satu proses yang berlaku dengan cepat menyebabkan terdapat segelintir kanak-kanak yang akan menghadapi masalah dalam penggunaan otot kasar dan halus.

      Kanak-kanak yang belum mencapai usia persekolahan dilihat menjadi penyebab kepada kurangnya aktiviti yang melibatkan motor halus dan motor kasar kerana masyarakat beranggapan bahawa usia persekolahan adalah usia dimana kanak-kanak baru mula belajar sesuatu perkara. 

Tanggapan ini menyebabkan kurang aktiviti yang melibatkan kemahiran motor bahkan kanak-kanak sering dimanjakan oleh ibu bapa misalnya ibu bapa sendiri yang membutangkan baju dan mengikat tali kasut anak mereka.

1.4 Objektif Kajian

Objektif kajian ini dilakukan adalah untuk:

i. Melihat tahap prestasi kemahiran motor halus melalui ketiga-tiga aktiviti kemahiran motor halus yang dijalankan.

ii. Mengenal pasti kelemahan dan kekuatan klien yang boleh mempengaruhi semasa melakukan aktiviti kemahiran motor halus melalui borang pemerhatian tingkah laku.


1.5 Persoalan Kajian

Pengkaji ingin melihat tahap prestasi kemahiran motor halus kanak-kanak Mikrosefali melalui tiga aktiviti kemahiran motor halus yang dijalankan iaitu aktiviti menebuk lubang kad manila, pompom pickup dan stretching getah. 

Selain itu, pengkaji ingin melihat kekuatan dan kelemahan klien yang boleh mempengaruhi tahap prestasi kemahiran motor halus semasa melakukan aktiviti yang diberikan berdasarkan pemerhatian tingkah laku.

1.6 Kepentingan Kajian

Kajian intervensi ini adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap prestasi kemahiran motorhalus klien  melalui intervensi seperti menebuk lubang kad manila, mengasingkan pompom menggunakan penyepit dan stretching getah di luar botol sepanjang intervensi dilakukan. 

Selain itu juga, kajian ini bertujuan mengenal pasti kelemahan dan kekuatan klien yang boleh mempengaruhi tahap prestasi kemahiran motor halus.

1.6 Batasan Kajian

Sepanjang menjalankan intervensi, terdapat beberapa batasan kajian yang telah dikenal pasti oleh pengkaji. Batasan kajian adalah batasan-batasan yang telah digariskan oleh pengkaji dalam kajian ini. 

Batasan kajian antaranya ialah kajian ini hanya tertumpu kepada pengaruh yang terdapat di organisasi sahaja dan tidak mengambil kira pengaruh ibu bapa serta persekitaran rumah klien. Ini kerana klien menghabiskan masanya lebih di ______ berbanding di rumah. 

Justeru, tahap perkembangan dan penguasaan kemahiran motor halus di luar dari organisasi turut mempengaruhi tahap prestasi kemahiran motor halus klien. 

      Oleh itu, kajian ini memberi fokus kepada mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang boleh mempengaruhi tahap prestasi kemahiran motor halus klien agar tahap penguasaan dalam kemahiran motor halus melalui ketiga-tiga aktiviti dapat ditingkatkan. 

Kajian ini hanya dijalankan kepada kanak-kanak yang berumur 14 tahun sahaja. Selain itu, tempoh intervensi dijalankan hanya mengambil masa selama enam (6) minggu sahaja dan dijalankan ketika klien berada di organisasi.

4.0 METODOLOGI KAJIAN

4.1 Reka Bentuk Kajian

Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah pemerhatian semasa sesi intervensi dijalankan. Pengkaji juga menggunakan borang senarai semak untuk merekodkan perkembangan klien dari semasa ke semasa. 

Borang senarai semak digunakan untuk mencatat perkembangan klien semasa pemerhatian sesi intervensi dijalankan. Kajian ini dijalankan tanpa gangguan mana-mana pihak lain yang mana ianya hanya interaksi antara pengkaji dan klien sahaja.

4.3 Populasi Kajian

Kajian di jalankan di sebuah organisasi iaitu _____ yang menempatkan para pelatih kurang upaya intelek yang mempunyai pelbagai jenis kecacatan seperti cerebral palsy, Sindrom Down, masalah pembelajaran, masalah pertuturan dan komunikasi, autism dan sebagainya. _____ memberikan perkhidmatan penjagaan dan latihan yang mana para pelatih akan di hantar dan diambil oleh ibu bapa. 

Klien yang dipilih bagi melaksanakan kajian ini adalah pelatih yang mempunyai masalah Mikrosefali dan merupakan pelatih yang baru sahaja masuk ke _____ pada tahun 2017.

4.4 Sampel Kajian

Klien merupakan seorang kanak-kanak yang mempunyai masalah Mikrosefali yang berusia 14 tahun. Klien ini mempunyai kemahiran komunikasi yang baik tetapi tidak boleh bertutur dengan baik namun masih boleh difahami. 

Hal ini ditunjukkan daripada interaksi klien dengan orang sekeliling serta klien dapat mengikut arahan dengan baik apabila diarahkan untuk melakukan sesuatu.

4.5 Lokasi Kajian

Pengkaji menjalankan intervensi sepenuhnya di dalam perpustakaan dan Bilik Resepsi. Hal ini demikian kerana pengkaji mengelak agar klien tidak terganggu dan hilang fokus semasa menjalankan aktiviti intervensi. 

Namun, aktiviti intervensi ini bergantung dengan jadual kelas itu sendiri. Sekiranya aktiviti ini memerlukan klien berada di dalam kelas, maka klien akan menjakankan aktiviti intervensi di dalam kelas sahaja.

4.6 Bilangan Intervensi

Intervensi ini dijalankan selama tiga kali dalam seminggu yang mengambil masa selama 10 minit bagi setiap aktiviti yang dijalankan. Ketiga-tiga aktiviti mengambil masa selama 30 minit untuk dijalankan. 

Manakala, aktiviti pemanasan badan dilakukan selama 10 minit sebelum setiap aktiviti dijalankan dimana keseluruhan bagi ketiga-tiga aktiviti pemanasan badan mengambil masa selama 30 minit. Tempoh masa menjalankan sesi intervensi adalah selama 1 jam. 

Aktiviti untuk menjalankan sesi intervensi telah ditetapkan oleh kakitangan di kelas iaitu pada waktu pagi selepas makan pagi kerana klien hanya menjalankan sesi persekolahan pada waktu pagi sahaja.


5.0 PERANCANGAN INTERVENSI

5.1 Prosedur Sebelum Menjalankan Intervensi

Sebelum menjalankan intervensi, pengkaji perlu membuat perancangan intervensi terlebih dahulu agar intervensi yang dijalankan tersusun dan berjalan dengan lancar agar dapat mencapai matlamat intervensi. 

Sebelum memilih klien, pengkaji diberi peluang untuk menjalankan orentasi selama 2 minggu untuk melakukan pemerhatian dan mengumpul maklumat dengan kakitangan di _____ supaya dapat memilih klien yang sesuai untuk menjalankan kajian kes. 

Sepanjang menjalankan orentasi, pengkaji telah memilih seorang klien dan bertanya kepada kakitangan di situ tentang klien tersebut samada klien tersebut sesuai untuk dijadikan sebagai klien untuk kajian kes.  

     Setelah itu, pengkaji berjumpa dengan penyelia lapangan dan meminta kebenaran untuk mengambil salah satu klien daripada kelas dan menjelaskan perancangan intervensi secara ringkas kepada penyelia lapangan. Hasil daripada perbincangan dengan penyelia lapangan dan jurulatih di Kelas, pengkaji hanya menetapkan tiga aktiviti kemahiran motor halus sahaja. 

Hal ini demikian kerana pihak kakitangan ingin berfokus kepada aktiviti tersebut secara berterusan. Setelah mendapat persetujuan daripada penyelia lapangan, pengkaji berjumpa dengan ibu bapa klien untuk mendapatkan persetujuan menjalankan kajian kes terhadap klien. 

Sebelum intervensi dijalankan, pengkaji perlu mempunyai hubungan yang baik dengan klien, oleh itu, pengkaji telah meminta kebenaran untuk berada di kelas sepanjang menjalankan aktiviti kemahiran motor halus bagi melancarkan sesi intervensi yang bakal dijalankan.


6.0 TINDAKAN INTERVENSI

6.1 Aktiviti Memanaskan Badan Sebelum Sesi Intervensi Dijalankan

Sebelum memulakan sesi intervensi, pengkaji akan melakukan sesi memanaskan badan (warm up) selama 10 minit kepada klien supaya klien berada dalam keadaan yang bersedia dan dapat memberikan tumpuan dengan baik semasa melakukan sesi intervensi. 

Aktiviti memanaskan badan dilakukan dengan memberikan klien 2 biji bola sebesar genggaman tangan. Pengkaji memberi arahan dengan menyuruh klien untuk menggenggam bola tersebut di kedua-dua belah tangannya. Aktiviti ini dilakukan dalam masa 5 minit sebelum intervensi menebuk lubang kad manila. 

Selain itu, pengkaji akan melakukan aktiviti memanaskan badan dengan menyuruh klien untuk menggenggam penebuk lubang sebanyak 10 kali pada tangan kiri dan 10 kali pada sebelah tangan kanannya. 

      Aktiviti memanaskan badan juga dilakukan selama 5 minit sebelum sesi intervensi pompom pickup dan stretching getah dilakukan. Aktiviti yang dilakukan adalah dengan memegang penyepit dan menyepit sebanyak 10 kali pada tangan kiri dan 10 kali pada sebelah tangan kanannya. 

Setelah itu, pengkaji menyuruh klien untuk mengambil 5 biji getah dan menarik getah tersebut perlahan-lahan dan menahan selama 5 saat. Aktiviti ini dilakukan sebanyak 10 kali. Aktiviti memanaskan badan sebelum sisi intervensi ini dilakukan bertujuan untuk menguatkan tahap keupayaan klien dalam genggaman tangan sebelum melakukan sesi intervensi kerana intervensi yang dilakukan oleh pengkaji melibatkan kekuatan klien dalam genggaman tangan.

6.2 Aktiviti Menebuk Lubang Kad Manila

Pada minggu pertama sebelum intervensi pengkaji menyediakan 50 keping kad manila yang telah dipotong mengikut saiz segi empat tepat. Setiap 2 minit pengkaji menyuruh klien untuk menebuk kad manila tebal mengikut bulatan yang telah dilukis. Intervensi dijalankan selama 10 minit dan pengkaji mengira jumlah bilangan kad manila yang berjaya ditebuk oleh klien dalam tempoh masa 10 minit. 

Seterusnya, pengkaji mencatat hasil pemerhatian semasa sesi intervensi dijalankan di dalam borang senarai semak dan pemerhatian tingkah laku klien. Pada minggu kedua sehingga minggu kelima intervensi (semasa intervensi) pengkaji akan memberi kad manila nipis, kad manila sederhana tebal dan kad manila tebal untuk merekod tahap prestasi kemahiran motor halus klien. 

Pada minggu keenam iaitu minggu selepas intervensi, pengkaji hanya memerhati klien menjalankan aktiviti menebuk lubang kad manila tebal sahaja dan merekod bilangan kad yang telah ditebuk serta mencatat pemerhatian tingkah laku semasa menjalankan aktiviti.


6.3 Aktiviti Pompom Pickup

Pada minggu pertama sebelum intervensi pengkaji menyediakan 4 buah mangkuk dan mengisi pompom itu mengikut warna. Klien mengasingkan pompom tersebut mengikut warna pompom ke dalam mangkuk yang berisi pompom yang telah diisi oleh pengkaji. 

Klien Intervensi dijalankan selama 10 minit dan pengkaji mencatat hasil pemerhatian semasa sesi intervensi dijalankan di dalam borang pemerhatian. Pengkaji mengira bilangan pompom yang telah berjaya dipindahkan oleh klien dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. 

Seterusnya pada minggu kedua sehingga minggu kelima intervensi (semasa intervensi) pengkaji membenarkan klien memegang penyepit dengan  menggunakan kedua belah tangan dan menggunakan sebelah tangan sahaja. 

Seterusnya klien diajar cara-cara menggenggam penyepit yang betul. Pada minggu keenam iaitu minggu selepas intervensi, pengkaji hanya memerhati klien menggunakan penyepit tanpa bantuan daripada pengkaji dan dan merekod bilangan pompom yang telah diasingkan mengikut warna serta mencatat pemerhatian tingkah laku semasa menjalankan aktiviti.


6.4 Aktiviti Stretching Getah

Pada minggu pertama sebelum intervensi pengkaji menyediakan 4 buah mangkuk yang berisi getah berbeza warna yang telah diasingkan mengikut warna. Pengkaji memberi arahan kepada klien dengan mengambil getah berwarna hijau dahulu satu persatu untuk melakukan aktiviti stretching dan memasukkan getah tersebut di luar botol. 

Setiap 2 minit pengkaji mencatat berapa bilangan getah yang berjaya dimasukkan di luar botol tersebut. Pada 2 minit yang seterusnya, pengkaji menyuruh klien untuk mengambil getah berwarna merah jambu untuk dimasukkan di luar botol tersebut. 

Intervensi ini dilakukan dalam masa 10 minit dan pengkaji mencatat hasil pemerhatian semasa sesi intervensi dijalankan di dalam borang pemerhatian. Pengkaji mengira jumlah bilangan getah yang berjaya dilakukan oleh klien sepanjang tempoh 10 minit. 

Seterusnya pada minggu kedua sehingga minggu kelima intervensi (semasa intervensi) klien diminta untuk stretching getah mengikut warna, seterusnya menggunakan kesemua jari, klien stretching getah mengikut warna dan menggunakan kesemua jari dan stretching getah ke atas objek yang lebih besar daripada botol. 

Pada minggu keenam iaitu minggu selepas intervensi, pengkaji hanya memerhati klien stretching getah tanpa bantuan daripada pengkaji dan dan merekod bilangan getah yang telah diasingkan mengikut warna serta mencatat pemerhatian tingkah laku semasa menjalankan aktiviti.


7.0 ANALISIS DATA

Kaedah analisis yang digunakan untuk kajian ini adalah dengan cara membuat perbandingan skor sebelum, semasa dan selepas sesi intervensi dengan merujuk kepada senarai semak setiap aktiviti yang dijalankan. Pengkaji menjumlahkan semua skor bagi setiap sesi sebelum, semasa dan selepas intervensi untuk melihat tahap prestasi kemahiran motor halus bagi ketiga-tiga aktiviti yang telah dijalankan.

9.0 Kesimpulan

Secara keseluruhan menunjukkan bahawa intervensi ini membantu pengkaji mengenal pasti kekuatan dan kelemahan klien yang mana mempengaruhi tahap prestasi kemahiran motor halus klien. Selain itu, intervensi ini menunjukkan kesan yang positif kerana tahap prestasi klien meningkat daripada tahap rendah kepada tahap tinggi sepanjang 6 minggu sesi intervensi dijalankan. 

Keputusan kajian menunjukkan hasil yang positif yang mana pengkaji berjaya mencapai objektif kajian. Peningkatan prestasi klien setiap minggu menunjukkan bahawa aktiviti kemahiran motor halus menebuk lubang kad manila, pompom pickup dengan mengasingkan pompom mengikut warna dan juga stretching getah mampu membantu klien dalam meningkatkan kemahiran motor halus.

9.1 Cadangan

Bagi tujuan kelancaran kajian, sokongan dan kerjasama antara ibu bapa, klien dengan pengkaji adalah sangat penting. Hal ini kerana, pengkaji tidak dapat mengumpul maklumat berkaitan sikap klien semasa di rumah dan hanya dapat mengetahui maklumat klien daripada pihak _____. 

Maklumat berkaitan sikap dan cara didikan klien di rumah adalah sangat penting bagi mengenalpasti masalah lain yang mungkin menjadi punca kepada kelemahan klien. Selain itu, bagi memperoleh keputusan yang terbaik pengkaji mencadangkan agar aktiviti ini dilakukan secara berterusan. 

Semasa menjalankan sesi intervensi klien tidak boleh didedahkan dengan sebarang gangguan dimana hanya interaksi antara klien dengan pengkaji sahaja yang wujud. 


Copy paste kajian kes ini adalah DILARANG sama sekali hanya untuk bacaan dan rujukan umum sahaja kepada yang memerlukan.

Untuk mendapatkan maklumat berkenaan kajian kes boleh email nurulatikayunus23@gmail.com. Sekian, Terima Kasih.

Tags

Catat Ulasan

2 Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.

Top Post Ad

Below Post Ad