Bismillah
Berpuasa dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga sememangnya ramai yang boleh buat. Tetapi bagaimana pula menahan diri daripada mencarut, memaki, berkata buruk samada lisan mahupun tulisan?
Adakah puasa kita akan batal atau tidak? Ataupun tindakan tersebut mungkin memberi kesan kepada pahala puasa kita?
Hukum Mencarut di Media Sosial Dalam Keadaan Sedang Berpuasa
1. Adakah membatalkan puasa atau tidak?
Tidak batal puasa seseorang yang mengeluarkan kata-kata tidak baik seperti berbohong, mengumpat, mencarut, perkataan lucah dan seumpamanya, sama ada di alam maya atau di alam nyata.
2. Adakah tindakan tersebut memberi kesan kepada pahalanya?
Namun, perbuatan tersebut menghilangkan pahala puasa dan tidak tercapai maksud puasa dalam erti kata yang sebenar.
Hakikat ibadah puasa yang dilaksanakan adalah untuk mencapai matlamat ketakwaan dalam diri setiap hamba. Allah SWT berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. (Surah al-Baqarah, Ayat 183)
Imam al-Maraghi menjelaskan bahawa ayat di atas merupakan perintah Allah SWT tentang kewajipan berpuasa bagi umat Nabi SAW. Segala amal ibadah digandakan pada bulan ramadan.
Oleh itu, umat Islam sepatutnya meningkatkan segala amal ibadah dan mengawal hawa nafsu bagi meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. (Rujuk: Tafsir al-Maraghi, 2/68)
Ramadan bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi kita juga perlu menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa.
Setiap muslim yang menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan tentu berharap mendapat pahala dari Allah SWT.
Namun, hanya sebahagian sahaja yang mendapat pahala puasa, manakala sebahagian lagi hanya mendapat lapar dan dahaga dari ibadah tersebut disebabkan perbuatan mereka.
Baginda SAW memberi amaran dalam hal ini dengan sabdanya:
رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ
Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga”. Riwayat Ahmad (8856)
Nabi SAW juga memberi amaran yang sama sekiranya seseorang itu mengeluarkan kata-kata keji ketika berpuasa. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالعَمَلَ بِهِ، فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji dan amalannya, maka Allah tidak berhajat pada seseorang yang meninggalkan makan dan minumnya”. Riwayat al-Bukhari (1903), Abu Daud (2362), al-Tarmizi (716), Ibnu Majah (1689)
Hadis ini menjelaskan tentang kesempurnaan puasa yang mana jika seseorang berkata dengan perkataan keji dan melakukan amalan dosa, maka puasanya tidak batal, namun ia meluputkan pahala puasanya. Perkara ini dijelaskan oleh syeikh Abu Bakar Syato di dalam karya beliau:
والمراد أن كمال الصوم إنما يكون بصيانته عن اللغو والكلام الرديء، لا أن الصوم يبطل بهما
Maksudnya: “Maksudnya kesempurnaan puasa seseorang ialah dengan memelihara daripada perbuatan yang melalaikan dan kata-kata yang keji, sesungguhnya tidak batal puasa seseorang itu dengan sebab perbuatan tersebut”. (Rujuk: Hasyiah Ia’nah al-Talibin, 2/416)
Manakala, al-Imam al-Suyuti R.H mensyarahkan perkataan al-Zur dalam hadis tersebut yang bermaksud:
هُوَ الْكَذِب والبهتان وَالْعَمَل بِهِ أَي الْعَمَل بِمُقْتَضَاهُ من الْفَوَاحِش وَمَا نهى الله تَعَالَى عَنهُ
Maksudnya: “al-Zur ialah berkata bohong dan dusta serta beramal dengannya, iaitu amalan yang termasuk dalam perbuatan-perbuatan keji yang dilarang oleh Allah SWT”. (Rujuk: Syarah Ibnu Majah li al-Suyuti, 1/121)
Selain itu, Rasulullah SAW telah mengingatkan tentang pentingnya seseorang menjaga mulut dan tingkah lakunya ketika berpuasa, sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الْأَكْلِ وَالشُّرْبِ فَقَطْ إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ
Maksudnya: “Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan yang melalaikan dan perkataan keji”. Riwayat al-Baihaqi (8312)
Hadis ini merupakan dalil bahawa orang yang melaksanakan ibadah puasa wajib menahan diri dari perkataan kotor dan perkataan dusta sebagaimana ia menahan diri dari makan dan minum. Imam Ibnu Hajar menyebut di dalam kitabnya Fath al-Bari berkenaan maksud al-Laghwu ialah:
اللَّغْوُ الْكَلَامُ الَّذِي لَا أَصْلَ لَهُ من الْبَاطِل وَشبهه
Maksudnya: “al-Laqhwu ialah perkataan yang tidak ada manfaat daripada perkara-perkara yang batil dan seumpamanya”. (Rujuk: Fath al-Bari Syarah Sahil al-Bukhari, 2/414)
Sehubungan dengan itu, menurut syeikh Zainuddin al-Malibari di dalam karyanya bahawa seseorang itu wajib memelihara lidah dari sesuatu yang haram kerana ia boleh menghilangkan pahala puasa dan berdosa:
ومما يتأكد للصائم : كف اللسان عن كل محرم ككذب وغيبة ومشاتمة لأنه محبط لأجر
Maksudnya: “Apa yang perlu ditekankan oleh orang yang berpuasa ialah memelihara lidah dari perkara-perkara yang haram seperti kata-kata dusta, mengumpat, mencaci, menghina, memaki, kerana ia menghapuskan pahala puasa”. (Rujuk: Fath al-Mu’in, hlm 274)
Sumber : Irsyad Fatwa | Edisi Ramadan
Kesimpulannya
Walaupun perbuatan mencarut mahupun berkata tidak baik tidak membatalkan puasa tetapi wajib untuk kita menahan diri daripada melakukan perbuatan tersebut. Apatah lagi di zaman kita sekarang ini, mencarut bukan lagi menggunakan mulut tetapi jari-jari kita yang menaip.
Buat para wanita, semoga Ramadan kali ini kita dapat berpuasa penuh. Semoga Ramadan ini dapat meningkatkan kualiti iman dan ibadah kita, menjadi seorang yang lebih baik lagi
terima kasih atas perkongsian!
BalasPadamthanksss awak atas ingatan
BalasPadamTerima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.