Type Here to Get Search Results !

Perkembangan Kanak-Kanak

Perkembangan Kanak-Kanak

Perkembangan ialah satu proses yang berlaku secara berterusan dari peringkat lahir hinggalah peringkat kematangan. Perkembangan juga merupakan turutan perubahan yang berlaku melalui fizikal, bahasa, emosi dan pemikiran yang mana berlaku kepada kanak-kanak seawal usia baru lahir sehingga menjelang awal dewasa.

Menurut Azizi Yahaya and Zainuddin Abu Bakar dalam Teori-Teori Perkembangan mendefinisikan perkembangan sebagai perubahan tingkah laku yang tersusun dan teratur. Semua perubahan dalam perkembangan ini akan membantu individu dalam proses mencapai kematangan. 

Perkembangan merupakan perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif. Perubahan menunjukkan sifat yang berbeza daripada tahap perkembangan yang terdahulu. 

Perkembangan juga adalah sebagai perubahan pada struktur, pendapat dan tingkah laku individu. Ia terhasil daripada fungsi biologi, faktor pemakanan dan pengaruh alam sekitar. 

Perkembangan juga merupakan perubahan yang bersifat kualitatif tetapi dapat dilihat dengan membandingkan sifat yang terdahulu dengan sifat yang terbentuk.

Secara umumnya, perkembangan mempunyai ciri-ciri tertentu di mana berlaku secara berperingkat-peringkat iaitu bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Setiap kanak-kanak akan melalui proses perkembangan yang sama tetapi dalam kadar yang berlainan. 

Sebagai contoh, biasanya kanak-kanak yang berusia tujuh bulan hingga 12 bulan akan mencapai kebolehan merangkak, duduk, dan berjalan. 

Namun perbezaan ini boleh dilihat melalui dua kanak-kanak yang berbeza. Misalnya, Amin boleh merangkak ketika berumur tujuh bulan, mula bertatih ketika berumur 10 bulan, dan berjalan ketika berumur 12 bulan. 

Sementara Sarah pula mencapai kebolehan merangkak ketika berumur lapan bulan, bertatih ketika umur 10 bulan dan boleh mula berjalan ketika berumur 13 bulan. Jangka masa untuk mencapai tingkah laku adalah berbeza-beza tetapi tingkah laku yang dicapai adalah sama urutan tertibnya.

Proses perkembangan ialah proses yang bersifat berterusan dan sepanjang hayat individu tersebut selagi ia masih bernafas kerana ia merupakan perubahan yang berlaku pada kanak-kanak atau individu yang melibatkan perkembangan jasmani dan pembelajaran. 

Faktor berlakunya perkembangan disebabkan oleh faktor baka (genetik) dan juga faktor persekitaran. Perkembangan akan melalui proses perubahan dari segi bahasa, cara berfikir, fizikal, emosi, dan komunikasi.

TEORI PERKEMBANGAN ARNOLD GASELL

Perkembangan kanak-kanak boleh difahami berdasarkan Teori yang dikemukakan oleh Arnold Gasell. Teori yang dikemukan oleh Arnold Gesell berupa teori kematangan biologi yang mengatakan tingkah laku individu berkembang mengikut jadual masa yang tetap. Gasell menyatakan bahawa kematangan merupakan faktor yang utama dan menentukan proses pembelajaran. 

Berdasarkan daripada teori tersebut, perkembangan kanak-kanak dipengaruhi oleh baka (genetik) sebagai pengerak utama dan proses kematangan individu merupakan faktor utama dalam proses pembelajaran.

Dalam teori Gasell telah membahagikan perkembangan kanak-kanak kepada lima peringkat dimana peringkat pertama (0-1 tahun) setiap bayi yang berumur sebulan boleh menghasilkan tangisan yang berbeza seperti menangiskerana lapar atau inginkan belaian ibu.

Apabila mencapai usia 4 bulan, bayi akan melalui peringkat awal perkembangan emosi seperti ketawa apabila berasa gembira. Selain itu, koordinasi fizikal berlaku pada bayi iaitu mata bayi boleh mengikut objek yang bergerak. 

Misalnya bayi dapat melihat kapal terbang mainan yang berpusing. Sementara pada usia 6 bulan, perkembangan psikomotor bayi akan meningkat di mana ia boleh menggenggam jari ibu atau objek yang diberikan kepadanya.

Apabila bayi berusia 8 bulan bayi sudah mula pandai duduk dan merangkak dengan sendirinya tanpa bantuan daripada orang lain kerana pada masa ini otot leher, tangan, kaki, pinggul bayi sudah semakin kuat dan membolehkan bayi duduk dan merangkak dengan cepat. 

Pada usia 1 tahun pula, bayi akan mula belajar untuk duduk, merangkak dan berdiri. Bayi sudah mahir untuk melangkahkan kakinya dengan berpaut pada kerusi, meja untuk mengimbangkan berat badanya.

Pada peringkat kedua (1-2 tahun) perkembangan kanak-kanak, kematangan fizikal dan mental mula meningkat iaitu bayi sudah pandai jalan bertatih dibantu oleh pengasuhnya. Kanak-kanak pada usia ini akan mula berjalan, bercakap (babbling) dan memahami makna perkataan. 

Di akhir peringkat ini, kanak-kanak sudah mahir untuk berjalan tanpa bantuan daripada pengasuhnya kerana kanak-kanak sudah memperolehi keseimbangan badan yang sempurna dan berlari serta mula bercakap tetapi bercakap dengan pelat dan kurang lancar.

Apabila melangkah ke peringkat seterusnya iaitu peringkat ketiga (2-3 tahun), kanak-kanak sudah mencapai koordinasi mata, tangan dan kaki yang semakin sempurna misalnya boleh mengurus diri sendiri seperti mula makan bersendirian dan memakai kasut dengan sendiri.

Selain itu, kanak-kanak bercakap menggunakan ayat yang mudah tetapi tidak begitu baik dan ayat yang digunakan tidak begitu lengkap.

Pada peringkat keempat (3-4 tahun), koordinasi dan kematangan fizikal kanak-kanak sudah semakin kukuh misalnya boleh menunggang basikal beroda tiga dan boleh menuruti arahan mudah daripada ibu bapa. 

Pada tahap kelima (4-6 tahun) proses interaksi kanak-kanak mula terbentuk kerana pada tahap ini kanak-kanak mula bersosialisasi dan bergaul dengan rakan-rakan seusia denganya kerana pada masa ini kanak-kanak telah bersedia untuk memasuki alam persekolahan iaitu ke kelas pra sekolah. 

Pada peringkat ini juga kanak –kanak suka untuk mengemukakan soalan berperingkat-peringkat kepada penjaganya sama ada ibu, ayah, guru dan sebaginya untuk mengetahui sesuatu perkara kerana kanak-kanak pada usia sebegini mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi berdasarkan pemerhatian mereka terhadap persekitaran sekeliling dan sudah boleh membezakan di antara yang betul dan salah.

PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

Kanak-kanak membesar dan berkembang dengan pelbagai kemahiran sama ada kemahiran sedia ada ataupun kemahiran baharu yang dipelajari berdasarkan persekitaran. Perkembangan ini dilihat melalui carta yang dikenali sebagai developmental milestones. 

Carta perkembangan ini menunjukkan perkembangan kanak-kanak yang biasanya berlaku pada peringkat usia bayi sehingga 8 tahun dimana perkembangan motor kasar dan halus terbentuk, kemahiran mendengar, bercakap, kognitif dan bahasa kanak-kanak akan melalui satu fasa ke satu fasa secara tertib mengikut umur kanak-kanak tersebut. 

Carta perkembangan ini menunjukkan jadual untuk setiap kanak-kanak menguasai sesuatu kemahiran dalam tempoh usia tertentu.

Walau bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak akan menguasai kemahiran tersebut mengikut umur mereka kerana setiap kanak-kanak mempunyai keupayaan yang berbeza.

Perkembangan kanak-kanak merangkumi lima asas utama iaitu perkembangan fizikal, kognitif, bahasa, sosial emosi dan estetika serta daya kreatif.

PERKEMBANGAN FIZIKAL

Perkembangan fizikal ialah perkembangan motor kanak-kanak yang merangkumi kemahiran-kemahiran koordinasi otot untuk menjalankan aktiviti-aktiviti fizikal. Kanak-kanak mengalami perubahan dari segi bentuk dan saiz; kebolehan mengawal pergerakan motor kasar dan halus serta koordinasi anggota badan. 

Motor kasar berkaitan dengan otot-otot kasar manakala motor halus berkaitan dengan hal yang menggunakan saraf. Selain itu, perkembangan fizikal juga merangkumi perkembangan sensori, khasnya penglihatan dan pendengaran. 

Pada usia bayi berumur 0-3 bulan, bayi akan memberi respon kepada bunyi yang kuat, mengenali suara ibunya atau orang terdekat , serta mendengar suara bayi itu sendiri menyebabkan bayi itu terhibur dan cuba untuk menghasilkan bunyi yang lain. 

Apabila bayi berusia 4-6 bulan, bayi tersebut akan memusingkan kepala ke kiri atau kanak serta membesarkan mata untuk mencari bunyi sekeliling. 

Selain itu juga, auditory feedback loop bayi akan berkembang dimana bayi akan berasa seronok untuk mendengar muzik, atau alat permainan yang mempunyai bunyi (lonceng). 

Bayi pada usia ini juga akan mula membezakan bunyi persekitaran dengan bunyi daripada percakapan orang seperti suara ibunya. 

Bayi ini juga akan mudah menangis sekiranya melihat wajah selain daripada ibunya ataupun ahli keluarga. Pada usia 7-9 bulan pula, bayi akan mula mencari koordinasi di mana munculnya bunyi dengan memberi respon seperti memusingkan kepala atau mata ke kiri dan ke kanan, atau mengerakkan tubuh badan. 

Bayi ini juga mempunyai kesukaran untuk mengenal pasti lokasi bunyi yang berada di belakang atau di atas. Di samping itu juga, bayi pada usia ini akan mula menghasilkan bunyi tiupan. 

Semasa melangkah ke usia 10-18 bulan, bayi akan mula memberi respon secara fizikal kepada bunyi ataumuzik yang didengari, mengenal pasti objek yang disebut, memahami beberapa frasa dan menunjukkan minat kepada bunyi radio, televisyen, mendengar cerita atau lagu kanak-kanak.

Apabila melangkah ke usia 18 bulan- 4 tahun, kanak-kanak akan mula memahami apabila namanya dipanggil, mengingati apabila disuruh seperti Tolong letak buku di atas meja dan susun kerusi itu”. (auditory sequencing), mengikuti perbualan apabila memahami tentang topic perbualan, menjawab soalan yang berbentuk gambar rajah dalam buku, dan membuat penilaian kognitif tentang apa yang didengari. 

Sebagai contoh, “Boleh ceritakan dengan ibu tentang percutian ke Disney World?” (auditory processing). Selain itu juga, pada usia ini, kanak-kanak akan mula meningkatkan kemahiran mendengar mereka dengan mendengar sepenuh perhatian dan menceritakan kembali cerita yang pernah didengari dengan menggunakan ayat yang berulang. 

Kanak-kanak yang berusia 5 – 8 tahun akan mula mengingat kembali fakta daripada cerita serta mempelajari huruf vocal dan konsonan, mampu untukmeringkaskan cerita apabila mendengar sesuatu maklumat pada satu masa. 

Kanak-kanak akan mengalami perubahan daripada tahap mengeluarkan bunyi- bunyian kepada penerimaan, kefahaman dan mengeluarkan kata-kata sebagai tindak balas kepada rangsangan. Dia akan belajar menyebut apa sahaja yang didengarkannya. 

Sama ada melalui percakapan ibu bapa, bahan bacaan yang dibaca kepadanya, menonton televisyen dan mendengar radio.

Pada awal perkembangan kanak-kanak bawah 5 tahun, perkembangan fizikal kanak- kanak berkembangan dengan pesat dan cepat. 

Semasa peringkat ini, kanak-kanak membesar dengan cepat dan membentuk kemahiran motor halus dan motor kasar. Contohnya ialah seperti berjalan, berlari, memanipulasi objek, duduk, melompat. Melukis dan melakar.

Perkembangan fizikal sangat penting pada peringkat ini supaya kanak-kanak itu aktif untuk meneroka dunia luar serta menghadapi cabaran-cabaran baru. 

Kanak-kanak akan mengalami perubahan dari segi ketinggian, berat badan, menjadi lebih kuat dan dapat melibatkan diri dalam kegiatan fizikal yang lebih kompleks yang lain. Pada peringkat kanak-kanak, kadar pertumbuhan dan perkembangan pada peringkat ini adalah lebih stabil dan tidak begitu pesat jika dibandingkan perkembangan ketika masih bayi. 

Hal ini demikian kerana bayi tidak mampu untuk mengawal banyak pergerakkan badan. Pada awal usia 1 tahun, bayi hanya belajar untuk mencapai objek, menolak, meniarap, serta merangkak. Setiap kemahiran ini dibentuk antara satu dengan yang lain untuk membantu membina kemahiran motor yang baharu. 

Misalnya, semakin bayi itu mencapai sesuatu objek, bayi tersebut akan lebih bermotivasi untuk menggenggam objek atau mencuba untuk menggapai objek yang baharu kerana berasa seronok. Apabila bayi telah mencapai umur setahun, mereka akan mulai belajar untuk duduk atau berdiri.

Pertumbuhan dan perkembangan pada peringkat lima tahun ke atas, kanak-kanak ini lebih kepada bercorakkan penambahbaikan kemahiran-kemahiran psikomotor yang sedia ada.

Pada peringkat umur 6 hingga 8 tahun iaitu ketika pertengahan kanak-kanak, dapat dilihat beberapa perkembangan fizikal berlaku iaitu ketinggian dan berat badan meningkat secara perlahan hinggalah keperingkat remaja. 

Gigi susu juga perlahan-lahan diganti dengan gigi kekal dan penulisan kanak-kanak ketika ini menjadi lebih kecil dan baik. Pada ketika ini juga, kanak-kanak mampu menghasilkan lukisan yang diorganisasi secara terperinci dan dalam permainan pula, mereka akan menambah permainan yang mengikut peraturan dengan aktiviti-aktiviti yang lebih kasar. 

Di samping itu juga, kanak-kanak akan berasa yakin terhadap kemahiran dan kebolehan mereka serta sentiasa mencuba kemahiran yang baharu.

Sebagai contoh, mereka akan mempelajari cara berjalan sambil memegang objek, menaiki tangga, melompat dan berlari. Kemahiran motor halus kanak-kanak pada usia ini juga berkembang lebih baik dimana mereka mudah untuk menggunakan pensel untuk menulis dan mahir menggunakan sudu untuk makan. 

Kanak-kanak yang mencapai usia pra-sekolah atau sekolah rendah mereka sudah boleh membina menara blok, menggunakan gunting, membaling dan menangkap bola, serta bermain basikal.


PERKEMBANGAN KOGNITIF

Maksud kognitif adalah berkait rapat dengan kognisi, iaitu aktiviti atau proses memperolehi ilmu secara taakulan atau pemikiran melalui deria. Maka perkembangan kognitf kanak-kanak adalah berkait rapat dengan perkembangan otak mereka serta interaksi sosial, khasnya dengan rakan sebaya yang lebih berpengalaman. 

Hal in bermaksud, perkembangan kognitif kanak-kanak adalah bergantung kepada perkembangan otak dan sensori motor (fizikal) serta interaksi dengan orang yang lebih berpengalaman, iaitu perkembangan sosial.

Perkembangan kognitif dilihat melalui keupayaan kanak-kanak mengumpul maklumat dan menyelesaikan masalah. Perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza mengikut tahap usia. Interaksi dan komunikasi orang dewasa dengan kanak-kanak adalah perlu. 

Kanak-kanak memahami dan akan belajar meniru sebutan berbahasa dengan betul setelah melakukan pengumpulan maklumat. Perkembangan kognitif boleh dilihat bermula bayi yang baru lahir sehingga usia 3 bulan sudah mempunyai tindakan refleks untuk memberi respon dan meniru ekspresi rupa orang lain seperti tersenyum, menyedari kehadiran botol atau susu ibu apabila melihat kepada sesuatu objek. 

Apabila bayi berusia 4-6 bulan, bayi akan mula meneroka objek menggunakan tangan dan juga mulut, tersenyum atau mengeluarkan bunyi. Apabila bayi berusia 7-9 bulan, bayi akan mula menari objek tersembunyi, berusaha untuk mencapai objek yang jauh, bermain permainan seperti “peek-a-boo” dan meniru aksi atau perbuatan yang mudah seperti tepuk tangan dan mengangguk. 

Apabila bayi berusia 10 bulan – 2 tahun, bayi akan mula setkan matlamat mudah. Sebagai contoh, melihat patung dan mencuba untuk mencapai patung yang dilihat dengan merangkak atapun mencari sudu yang jatuh di bawah meja. 

Pada usia ini juga, bayi akan mula menyedari objek yang berada di dalam atau luar objek. Contohnya, air yang ada di dalam gelas. Selain itu juga, kanak-kanak memberikan respon kepada perlakuan yang melucukan. 

Misalnya, meletakkan mangkuk di atas kepala, menyelesaikan masalah (try and error) Apabila kanak-kanak mencapai usia 2 – 5 tahun, kanak-kanak cuba untuk mencari objek tersembunyi, tertarik untuk membina menara yang tinggi, menyamakan bentuk dengan warna, bermain pretend plays seperti berlakon menjadi seorang ibu- anak, melengkapkan puzzle (5-8 keping), mengenali nombor walaupun tidak mengikut urutan, mengingati apa yang berlaku semalam. 

Selain itu juga, kanak-kanak akan mula mengenali bahaya seperti kenderaan yang bergerak, periuk nasi yang panas, atau api yang marak dan segera mengelak. Kanak-kanak ini juga mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan sentiasa berimaginasi ketika bermain (membezakan dunia sebenar dan fantasi) serta mengenal pasti situasi yang menyebabkan mereka menjadi gembira, marah dan sedih. 

Kanak-kanak yang berusia 6 - 8 tahun pula akan mula menyebut huruf dan memahami sesuatu perkataan yang ditulis, memahami konsep nombor 0-10, mengenal pasti dan boleh menghasilkan banyak bentuk, perkataan dan nombor. 

Di samping itu, kanak-kanak pada usia ini mula belajar bermain menggunakan peraturan, memahami hari dan tahun, mengenali tingkah laku mereka sendiri serta akibat daripada perbuatan mereka. Kanak-kanak ini juga mula membaca, menulis, membezakan huruf besar dan huruf kecil, menyusun objek mengikut susuan, saiz, menyiapkan simple maze, dan membuat opersi matematik. 

Perkembangan kognitif boleh ditakrifkan sebagai proses peningkatan keupayaan fikiran, pengetahuan dan keintelektualan seorang kanak-kanak dan kemampuan menjana akal budi dalam pelbagai aktiviti penyelasaian masalah, memahami, menganalisa dan membentuk pengetahuan serta pemahaman baru terhadap pengalaman baru yang dilaluinya.

Perkembangan kognitif kanak-kanak memberi penekanan terhadap pembinaan pemikiran kanak-kanak


PERKEMBANGAN BAHASA

Menurut Fadzilah Amzah dan Nor Hashimah Hashim (2009) kemahiran mendengar merupakan kemahiran yang paling asas sebelum menguasai kemahiran berbahasa yang lain seperti membaca dan menulis. 

Melalui kemahiran mendengar, seseorang kanak-kanak akan didedahkan dengan kebolehan memperoleh maklumat serta bertindak balas terhadap maklumat yang diberikan. Pada awal usia bawah 5 tahun, merupakan tempoh yang kritikal bagi kanak-kanak untuk menguasai kemahiran bahasa dan komunikasi (bertutur). 

Tahap perkembangan dan penguasaan bahasa seseorang kanak-kanak terbahagi kepada aspek fonologi (berupaya meniru bunyi, huruf, perkataan dan bunyi binatang, alat mainan, menyebut huruf atau perkataan dengan baik) walaupun sesetengah perkataan masih sukar dibunyikan dengan tepat. 

Aspek semantik di mana perbendaharaan kata kanak-kanak sedang berkembang seperti dapat membezakan perkataan (perkataan seerti /perkataan berlawan), memahami perkataan (konsep) abstrak yang dekat dengan mereka, dapat melabelkan objek atau benda, serta berupaya menyatakan pendapat dan perasaan secara ringkas. 

Aspek tatabahasa iaitu berupaya menggabungkan 2-3 perkataan serta membentuk ayat mudah. Dan aspek pragmatik iaitu menggunakan konsep egosentrik dimana kanak-kanak berusia 2-6 tahun berupaya bertutur dalam konteks yang sederhana mudah, bertutur lebih banyak berkisar dalam konteks diri sendiri dan keluarga.

Pada usia bayi sehingga 2 tahun, kanak-kanak hanya boleh bertutur menggunakan satu atau 2 patah perkataan sahaja. Bayi mempunyai kemahiran untuk menghasilkan bunyi (babbling sound) dan mendengar pelbagai bentuk bunyi. 

Walau bagaimanapun, apabila bayi didedahkan kepada persekitaran yang penuh dengan komunikasi dan pertuturan akan membantu untuk belajar dengan lebih cepat dalam bahasa serta komunikasi. Pada usia inijuga, bayi akan mula menggunakan bahasa yang mudah dan senang untuk difahami.

Sebagai contoh, “Mama, saya nak minum”. Selain itu, kanak-kanak pada usia 2 tahun akan bertutur untuk memberitahu apa yang diinginkan. Kebanyakkan kanak-kanak ini menggunakan perkataan atau 2 frasa untuk mengekpresikan perasaan atau bercakap tentang aktiviti harian mereka. 

Kanak-kanak ini sudah mula mengenali nama sendiri, memahami bahagian pada tubuh badan dan objek yang dilihat pada setiap hari. Kanak-kanak usia 2 tahun biasanya akan menggunakan 250 perkataan pada setiap hari.

Apabila melangkah ke usia 3 tahun, kanak-kanak ini akan belajar menggunakan banyak tatabahasa dan memahami penggunaaan ayat yang digunakan untuk bertutur. Selain itu, kanak-kanak ini juga mula berfikir tentang diri mereka dan lebih berdikari. 

Mereka mudah memahami arahan dan menjawab soalan yang berbentuk pertanyaan, memberikan idea, bercerita, dan menggunakan 3-4 patah perkataan. Apabila kanak-kanak mula melangkah ke alam pra-sekolah atau sekolah rendah (4 -8 tahun), kanak-kanak akan terdedah dengan bahasa, berterusan memperbaiki kemahiran bahasa dan komunikasi dengan mempelajari banyak perkataan. 

Pendedahan tersebut dalam bentuk perbualan, permainan yang melibatkan bunyi dan suku kata, dan juga buku. Ibu bapa yang menerapkan budaya membaca dalam kalangan anak-anak mereka akan membantu kanak-kanak untuk memahami proses bahasa dan komunikasi yang kukuh apabila ibu bapa selalu membaca di hadapan anak mereka dengan kuat dan jelas. 

Bukan itu sahaja, proses perkembangan bahasa kanak-kanak mudah dikuasai oleh mereka kerana kanak-kanak mampu untuk memahami apa yang perasaan dan perkataan yang disebutkan dalam bentuk penceritaan.

Menurut Fadzilah Amzah dan Nor Hashimah Hashim (2009) juga kemahiran bertutur kanak-kanak dapat diukur melalui keupayaan kanak-kanak bertutur, bercakap atau berbicara. Kanak-kanak yang dapat bertutur dengan baik akan menggunakan unsur-unsur prosodi dan unsur para Iinguistik ketika bertutur. 

Unsur prosodi merujuk penggunaan intonasi, nada, tekanan, sebutan serta jeda yang bersesuaian dengan tujuan dan fungsi pertuturan. Kanak-kanak yang mengaplikasikan unsur prosodi dalam pertuturan mereka dapat menunjukkan perbezaan dalam nada dan intonasi suara ketika sedang rnarah atau sedang merajuk.

Manakala unsur para linguistik merujuk penggunaan isyarat atau pergerakan badan. Kemahiran menggunakan unsur para linguistik ini ditunjukkan oleh kanak-kanak melalui mimik muka, pergerakan tangan, mengangguk atau menggelengkan kepala, membeliakkan mata dan sebagainya. 

Penggunaan unsur prosodi atau para linguistik dalam pertuturan, dapat membantu kanak-kanak tersebut untuk menguatkan maksud dan tujuan pertuturan mereka.


PERKEMBANGAN SOSIAL EMOSI

Perkembangan sosial emosi dipengaruhi oleh perkembangan bahasa kanak-kanak. Apabila kanak-kanak dapat berkomunikasi dengan baik dan mengekpresikan apa yang diinginkan kepada orang lain menunjukkan kebolehan kanak-kanak tersebut untuk berinteraksi dengan orang sekeliling. 

Sebagai contoh, bayi mula berinteraksi dengan ibunya apabila meniru ekpresi wajah dan bunyi daripada ibunya. Interaksi tersebut merupakan permulaan kepada perkembangan sosio-emosional kanak-kanak.

Apabila melangkah ke usia 2 – 5 tahun, kanak-kanak mula memberi respon kepada emosi orang lain. Misalnya, kanak-kanak menangis apabila orang lain menangis dan ketawa apabila melihat orang lain ketawa walaupun mereka ada kalanya tidak memahami emosi tersebut. 

Kanak-kanak akan mula memahami respon tersebut dengan mengaitkannya dengan perasaan. Kanak-kanak belajar untuk membuat hubungan perkataan kepada perasaan dan menggunakan ia untuk menjelaskan tingkah laku mereka. 

Apabila berumur 5 – 8 tahun, kanak-kanak mula belajar bergaul, berinteraksi dan meluahkan perasaan. Mereka semakin membesar dan pastinya perkembangan emosinya berbeza seperti gembira dan marah. 

Kanak-kanak pada usia ini juga akan berhadapan dengan konflik emosi dan juga kekecewaan, menunjukkan perasaan simpati terhadap orang yang sedih, serta bergaul dengan rakan-rakan.


PERKEMBANGAN ESTETIKA DAN KREATIVITI

Perkembangan estetika dan kreativiti melibatkan melihat sesuatu objek secara keseluruhan (contohnya rumah) memberi makna yang lebih mendalam daripada melihat komponen- komponen individu (tiang, lantai, dinding, pintu, tangga). 

Secara amnya, kreativiti ialah kebolehan atau kemampuan individu untuk menghasilkan atau mencipta sesuatu, menyelesaikan masalah dan mencapai sesuatu objektif (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2011). 

Pada awal usia kanak-kanak 2 – 4 tahun, kanak-kanak tidak mempunyai kawalan pada pergerakan tangan. Lukisan yang dihasilkan juga selalunya tidak terkawal dan banyak terdapat di dinding, di atas meja dan kertas lukisan dengan menggunakan pelbagai jeni bahan dan medium seperti krayon, pensil serta bahan-bahan lain. 

Selain itu, kanak-kanak banyak menggunakan imej yang tidak bersifat realistik dan banyak menggunakan lukisan garisan bagi menggambarkan sesuatu imej. Pada peringkat ini kanak-kanak menghasilkan contengan secara rawak dan tidak terkawal. 

Mereka mula melukis dari peringkat contengan kepada lukisan garisan lurus dan melintang kepada melukis bulatan.

Apabila kanak-kanak berusia 5 -8 tahun, kanak-kanak mula beralih ke peringkat menghasilkan simbol. Peningkatan daripada contengan bulatan kepada percubaan pertama untuk melukis objek yang terdapat di sekelilingnya dengan menggunakan garisan symbol.

Lukisan mula dihasilkan mengikut skema atau konsep tertentu. Penekanan lebih diberikan kepada cara penyusunan objek dalam imej selain daripada imej manusia dan objek yang terdapat di sekelilingnya. Lukisan yang dihasilkan juga adalah spontan, bebas dan berskala besar. 

Manakala luahan estetik kanak-kanak amat berbeza dengan pergerakan badan yang biasa. Di dalam kehidupan seharian, kita berkomunikasisecara verbal ataupun bukan verbal.

Komunikasi bukan verbal melibatkan pergerakan tangan, memek muka, pandangan mata dan pergerakan bahagian badan yang lain. Pergerakan estetik pula menjurus kepada isyaratvirtual. Isyarat virtual ini merupakan jendela kepada emosi dalaman kanak-kanak.
 
Kanak-kanak mampu mengembangkan daya kreativitinya menerusi aktiviti dan projek berkaitan seni visual yang mengutamakan proses, berbanding dengan hasilan akhir. Proses ini mengaktifkan pemikiran kritikal kanak-kanak dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Selain itu, aktiviti pendidikan seni visual menggalakkan kanak-kanak melakukan eksplorasi dan eksperimen dalam kehidupan seharian. 

Menurut Laili Farhana Md Ibharim & Maizatul Hayati Mohamad Yatim (2014) Kanak-kanak ialah seorang individu yang bersikap abstrak. Kreativiti dan kemahiran mereka kadang-kadang sukar untuk ditafsirkan kerana ia bersifat subjektif. 

Contohnya di dalam suatu pertandingan lukisan, terdapat kanak-kanak yang dapat menyiapkan hasil lukisan dalam masa yang singkat, namun lukisan yang dihasilnya tampak biasa dengan penggunaan warna yang kelam. 

Terdapat juga kanak-kanak yang mengambil masa yang lama untuk menyiapkan lukisan namun mempunyai nilai estetika dan seni yang menarik.


KESIMPULAN

Pengetahuan berkaitan perkembangan kanak-kanak banyak memberi manfaat kepada guru dan ibu bapa itu sendiri dalam membuat keputusan mengenai pembelajaran dan persepsi yang perlu ditegaskan. Oleh itu, kita perlu mengenali ke semua aspek agar dapat mengetahui kesannya ke atas perkembangan kanak-kanak.


RUJUKAN : 

  • Fadzilah. A. & Nor Hashimah. H. (2009) Perkembangan Bahasa Peringkat Awal Kanak- kanak. Pendidikan Prasekolah, DP. Jilid 9, Bil. 1

  • Kementerian Pelajaran Malaysia. (2011). Buku Panduan Kreativiti: Pembangunan Dan Amalan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Kuala Lumpur: Bahagian Pembangunan Kurikulum

  • Laili F.M.I & Maizatul. H.M.Y (2014). Kreativiti dan Kemahiran Kanak-Kanak dalam Mereka Bentuk Permainan Digital bagi Tujuan Pembelajaran. Journal of ICT in Education Vol. 1, 2014

  • Meltzoff, A. & Moore, M.K (1977). Imitation of facial and manual gestures by human neonates. Science 198:75-78

Tags

Catat Ulasan

0 Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad

Below Post Ad