Bismillah
Dulu masa sekolah apabila lalu kat sekumpulan lelaki kalau boleh orang perempuan nie nak buat pusingan U-turn asalkan tak lalu dekat lelaki.
Dan korang mesti pernah kena usik oleh lelaki seperti memberi salam 'assalamualaikum'. Kita yang perempuan ni pun rasa serba salah nak jawab salam ke atau tidak.
Ada lah yang kata 'tak jawab salam berdosa'. Tetapi sebenarnya wajib ke perempuan jawab salam lelaki? Apakah hukum berkenaan salam?
AL-KAFI #666 : HUKUM MEMBERI SALAM BERLAINAN JANTINA
Firman Allah Taala:
فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِّنْ عِندِ اللَّهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً ۚ
Maksudnya: “Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik.” (Surah al-Nur: 61)
Firman Allah Taala:
وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا
Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Nur: 86)
Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: “Hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkadah. Berkata ashab mazhab kami, ia adalah sunat kifayah jika sekolompok jamaah lalu di hadapan seorang lelaki atau jamaah lain kemudian salah seorang daripada kelompok pertama memberikan salam maka terhasil hukum sunat. Adapun hukum menjawab salam adalah fardu atau wajib secara ijma’. Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain maka yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai fardu ain. Manakala sekiranya diberi salam kepada sekelompok manusia, maka menjawabnya menjadi fardu kifayah.” Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (4/493-494)
Persoalan ditimbulkan berkenaan hukum lelaki dan wanita yang ajnabi (asing) memberi salam antara satu sama lain. Perkara ini ada dibincangkan oleh para ulama. Imam al-Nawawi menyebut dalam al-Majmu` (4/601-602) :
“Hukum memberi salam kaum wanita dengan wanita lain adalah sama hukumnya antara lelaki dengan lelaki. Para ashab (ulama) mazhab kita mengatakan, jikalau seorang lelaki memberi salam ke atas seorang perempuan atau perempuan memberi salam kepada lelaki, sekiranya di antara mereka berdua terdapat hubungan mahram atau perkahwinan, atau hamba, maka hukumnya adalah sunat dan menjawabnya adalah wajib. Namun, sekiranya tiada hubungan tersebut, maka tidak wajib menjawabnya. Sekiranya wanita tersebut sudah tua renta, maka boleh kerana dia keluar daripada punca fitnah.
Berkata al-Mutawalli: “Jika seorang lelaki memberi salam kepada seorang pemudi yang asing tidak boleh baginya untuk menjawabnya. Kalau pemudi itu yang memberi salam, makruh bagi lelaki itu untuk menjawabnya.”
Sekiranya sekelompok wanita memberi salam kepada seorang lelaki atau sekelompok lelaki memberi salam kepada seorang wanita maka hukumnya adalah sunat jika tidak ditakuti bagi kelompok lelaki dan wanita sebarang fitnah.
Ini berdasarkan hadis Asma’ bin Yazid R.anha yang berkata:
مَرَّ عَلَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي نِسْوَةٍ فَسَلَّمَ عَلَيْنَا
Maksudnya: “Nabi SAW berjalan berhampiran kami dan mengucapkan salam kepada kami.” Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidhi. Kata al-Tirmidhi: “Hadisnya hasan”.
Begitu juga hadis Sahl bin Sa`d RA berkata:
كَانَتْ فِينَا امْرَأَةٌ وَفِي رِوَايَةٍ كَانَتْ لَنَا عَجُوزٌ تَأْخُذُ مِنْ أُصُولِ السَّلْقِ فتطرحه في القدر وتكركر حبات من شعير فَإِذَا صَلَّيْنَا الْجُمُعَةَ انْصَرَفْنَا نُسَلِّمُ عَلَيْهَا فَتُقَدِّمُهُ إلَيْنَا
Maksudnya: “Dalam kalangan kami ada seorang wanita tua yang selalu mencabut pokok Silq daripada akarnya lalu memasukkannya ke dalam periuk dan menambahkan serbuk barli ke dalamnya. Apabila kami selesai solat Jumaat, kami beredar dan memberi salam kepada wanita tersebut dan beliau memberi kami makanan yang dimasaknya.” Riwayat al-Bukhari
Daripada Umm Hani’ R.Anha berkata:
أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْفَتْحِ وَهُوَ يَغْتَسِلُ وَفَاطِمَةُ تَسْتُرهُ فَسَلَّمْتُ
Maksudnya: “Aku berjumpa Rasulullah SAW pada hari Fath al-Makkah. Ketika itu Baginda sedang mandi dan Fatimah menghadanginya. Lalu aku memberi salam kepada Baginda.” Riwayat Muslim
Berdasarkan kenyataan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum memberi salam antara lelaki dan wanita adalah diharuskan dengan syarat yang ditetapkan iaitu, aman daripada fitnah. Syarat ini pula diikat oleh para ulama dengan hubungan mahram.
Kesimpulannya :
1. Memberi salam antara kaum wanita dengan wanita adalah sama hukumnya antara lelaki dengan lelaki. Sunat yang sangat dituntut dan wajib menjawab salam.
2. Lelaki memberi salam kepada seorang perempuan atau perempuan memberi salam kepada lelaki (Sekiranya antara mereka terdapat hubungan mahram atau perkahwinan / hamba). Sunat yang sangat dituntut dan wajib menjawab salam.
3. Lelaki memberi salam kepada seorang perempuan atau perempuan memberi salam kepada lelaki (Sekiranya antara mereka bukan mahram atau mempunyai perkahwinan / hamba). Tidak wajib menjawab salam.
4. Sekiranya wanita sudah tua yang boleh menghindari fitnah. Boleh menjawab salam.
5. Lelaki memberi salam kepada pemudi asing atau sebaliknya. Makruh menjawab salam.
6. Sekolompok lelaki/wanita memberi salam kepada seorang lelaki/wanita. Sunat memberi salam jika tidak ditakuti bagi kelompok lelaki dan wanita sebarang fitnah.
7. Wanita asing yang tiada bersama dia wanita lain. Haram menjawab salam lelaki asing dan memulakan salam.
8. Lelaki asing yang tiada bersama dia lelaki lain. Makruh menjawab salam dan haram memulakan salam.
Antara bentuk-bentuk memberi salam yang dibenarkan jua ialah apabila berkait dengan keperluan atau hajat yang tidak membawa kepada syahwat.
Contohnya, anak murid perempuan memberi salam kepada guru lelaki, ketika di pasar, pekerja di kaunter, meminta fatwa daripada seorang alim dan lain-lain.
Semoga Allah SWT memberikan keselamatan dan kebaikan kepada kita semua. Amin.
Semoga Allah SWT memberikan keselamatan dan kebaikan kepada kita semua. Amin.
RUJUKAN : AL-KAFI #666 : HUKUM MEMBERI SALAM BERLAINAN JANTINA
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.