Type Here to Get Search Results !

Bacaan Sayyidul Istighfar Memohon Keampunan Allah SWT

Assalamualaikum
Bismillah

Di dalam kehidupan kita, kita perlulah banyak beristighfar kepada Allah SWT iaitu memohon ampun kepada-Nya di atas segala dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan. 

Ini kerana, Nabi SAW yang diketahui bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang tidak pernah meninggalkan istighfar ini. 

doa-sayyidul-istighfar

Di dalam sebuah hadith, diceritakan bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari:

 Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
 
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [Riwayat al-Bukhari (6307)]
 

"Sayyidul Istighfar" adalah doa istighfar yang dianggap sebagai "pemimpin" atau "raja" dari segala istighfar. Berikut adalah teks bacaannya:

للَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
"ALLAAHUMMA ANTAA RABBIY, LAA ILAAHA ILLAA ANTA, KHOLAQTANII WA ANAA 'ABDUKA, WA ANAA 'ALAA 'AHDIKA WA WA'DIKA MAA AS-TATHA'THU, A'UUDZU BIKA MIN SYARRI MAA SHANA'THU, ABUU-U LAKA BINI'MATIKA 'ALAYYA, WA ABUU-U BIDZAMBIY, FAGHFIR LII, FA-INNAHU LAA YAGHFIRUDZ-DZUNUUBA ILLAA ANTA." 

Ertinya:
"Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau."



Demikian menunjukkan akan pentingnya istighfar di dalam kehidupan seharian kita. Terdapat hadith yang menceritakan berkaitan Penghulu Istighfar atau ia dinamakan sebagai Sayyid al-Istighfar.
 

Daripada Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. [Riwayat al-Bukhari (6306)]


Di dalam Fath al-Bari, Imam Ibn Hajar menaqalkan perkataan Ibn Jamrah yang mengatakan bahawa di dalam hadith ini, Nabi SAW telah menghimpunkan seni makna-makna serta lafaz-lafaz yang indah dan dengan itu melayakkan ia digelar sebagai penghulu segala istighfar. Di samping itu juga, terdapat padanya ikrar kepada Allah yang Esa akan keEsaan-Nya dan juga Ubudiyyah kepada-Nya (yang hanya berhak disembah). Tambahan pula, di dalamnya terdapat pengiktirafan (daripada hamba) bahawa Allah adalah pencipta dan beriqrar dengan janji yang diambil oleh Allah ke atasnya. Selain itu, berserah dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya serta memohon perlindungan (daripada Allah) dari segala kejahatan yang dilakukan oleh seseorang hamba itu terhadap dirinya. Di dalamnya juga terdapat sandaran kesenangan kepada pencipta-Nya dan juga sandaran dosa kepada diri pelakunya serta keinginannya untuk memohon ampun dan pengiktirafan akan dosa yang telah dilakukannya bahawa tiada yang mampu untuk mengampunkan dosa-dosa tersebut melainkan Allah SWT. [Lihat: Fath al-Bari, 100/11]


Di dalam hadith ini juga, Nabi SAW menyatakan akan kelebihan bagi sesiapa yang beramal dengan Sayyid al-Istighfar.

Sabda Baginda SAW lagi di dalam hadith yang sama:
 
وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengucapkannya (Sayyid al-Istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga”.


Oleh itu, membaca sayyidul istighfar selepas solat adalah suatu amalan yang sangat dianjurkan kerana ia mempunyai banyak manfaat kepada kita. Dengan membaca doa ini secara rutin, InsyaAllah kita akan merasa lebih tenang dan meningkatkan kualiti keimanan kita kepada Allah SWT. 

Semoga bermanfaat~


RUJUKAN :
  • IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-168: PENGHULU SEGALA ISTIGHFAR


Catat Ulasan

0 Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad

Below Post Ad