Bismillah
Allah s.w.t berfirman:
فَوَيْلٌۭ لِّلْمُصَلِّينَ. ٱلَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ
“Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang bersembahyang! (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.” (Surah al-Ma’un: Ayat 4-5)
Semoga Allah melindungi kita daripada golongan yang celaka yang mana solat tetapi dengan lalai.
Dalam menjelaskan ayat ini, Sheikh Abdurrahman bin Nasir as-Si’di di dalam tafsirnya (Tayseer al-Kareem ar-Rahmaan):
“(yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah) mereka yang tidak ambil berat terhadap solat, meninggalkannya, tidak mengendahkan rukun-rukunnya, dan secara umumnya tidak peduli akan perintah Allah yang agung ini, yang merupakan ketaatan yang paling penting dan ibadah yang terbaik di sisi Allah s.w.t. Oleh itu, orang yang lalai daripada melakukan solat itu adalah yang berhak untuk mendapat dosa dan dikritik…”
Kegelisahan yang terbit di sanubari kerana takut tergolong dalam golongan di atas adalah tanda keimanan yang ikhlas.
Tetapi yang menjadi persoalannya, bagaimanakah seseorang itu mampu mengetahui kesilapan-kesilapannya ketika solat?
Jawapannya adalah dengan menimba ilmu. Ya, ilmulah solusinya. Dengan ilmulah kejahilan diangkat. Dengan cahaya ilmulah seseorang hamba mampu keluar daripada kegelapan yang dahsyat.
Orang yang mengerjakan solat dengan lalai saja pun sudah dicela apatah lagi yang langsung tak solat. Meninggalkan solat adalah berdosa besar dalam Islam. Ini kerana solat merupakan salah satu rukun Islam justeru ia menjadi kewajipan bagi setiap muslim.
Meninggalkannya akan mengundang kemurkaan dan azab daripada Allah SWT. Menurut pandangan mazhab al-Syafi’i, individu yang meninggalkan solat kerana malas pada masa yang sama tidak mengingkari kewajipannya maka ia dikategorikan sebagai fasik dan hendaklah bertaubat serta menggantikannya.
أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الصَّلَاةُ، فَإِنْ صَلَحَتْ صَلَحَ لَهُ سَائِرُ عَمَلِهِ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَسَدَ سَائِرُ عَمَلِهِ
Maksudnya: Sesungguhnya amalan yang mula dihisab atas seseorang hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya baik solatnya maka baik segala amalannya, sekiranya buruk solatnya maka buruk segala amalannya. Riwayat al-Thabrani (1859)
Semoga ALLAH tetapkan hati dan iman kita untuk terus taat dalam mengerjakan perintahNya dan menjauhi laranganNya.
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.