Dalam ajaran Islam, para ulama sepakat bahawa darah yang keluar dari rahim wanita terbahagi kepada tiga kategori utama, masing-masing dengan hukum dan panduan tersendiri.
Artikel ini akan mengupas jenis-jenis darah tersebut, definisi haid, ciri-ciri darah haid, serta tempoh haid yang biasa berlaku.
KATEGORI DARAH WANITA
Para ulama telah bersepakat bahawa darah yang keluar dari rahim wanita terdiri daripada tiga jenis yang mana kesemuanya mempunyai hukum-hakamnya yang tersendiri. Darah-darah tersebut ialah:
1. DARAH HAID
Haid ialah darah yang keluar dari pangkal rahim seorang wanita yang telah mencapai usia baligh. Datangnya darah tersebut bukannya disebabkan oleh sesuatu faktor yang lain seperti sakit dan sebagainya. Akan tetapi ia adalah sebagai satu lumrah dan tabiat darah yang sering ada pada seseorang wanita. Jelasnya kedatangan darah haid tidak dikaitkan dengan apa-apa penyakit bahkan ia adalah darah yang datang dalam keadaan seseorang wanita sihat.
2. DARAH NIFAS
Nifas ialah darah yang keluar dari pangkal rahim wanita setelah melahirkan anak. Ia keluar sebelum berlalunya masa lima belas hari dari tarikh bersalin. Jika ia keluar setelah berlalu lima belas hari dari tarikh bersalin maka darah tersebut ialah darah haid jika menepati ciri-cirinya.
3. DARAH ISTIHADAH
Istihadah ialah darah yang keluar dari hujung rahim seorang wanita disebabkan oleh penyakit. Ia adalah darah yang keluar bukan pada waktu haid dan nifas.
DEFINISI HAID
Dari sudut bahasa, haid bermaksud mengalir. Orang Arab biasa menyebutkan: حَاضَتِ الشَّجَرَةُ ) pokok mengalir) iaitu apabila pokok itu mengeluarkan getahnya. Demikian juga mereka biasa menyebutkan: حَاضَ الْوَادِي lembah itu mengalir) yakni apabila air mengalir padanya.
Dari sudut syarak, haid bermaksud darah semula jadi yang keluar tanpa sebab dari pangkal rahim wanita pada waktu-waktu tertentu setelah mencecah usia baligh ketika tubuh badan dalam keadaan sejahtera (sihat).
Amru bin Bahr bin Mahbub al-Kinani yang terkenal dengan panggilan al-Jahiz menyebutkan dalam bukunya yang berjudul "Kitab al-Hayawan": Dalam kalangan hayawan (hidupan bernyawa) yang berhaid ada empat jenis iaitu: Wanita dalam kalangan manusia, arnab, dubuk dan kelawar. Selain beliau ada yang menyebutkan empat jenis binatang lagi yang berhaid iaitu unta, anjing, cicak dan kuda.¹
Nota : 1. Mughni al-Muhtaj, jilid 1, halaman 271-272.
Dalam kitab al-Majmu" yang dikarang oleh Imam al-Nawawi, beliau menyebutkan bahawa bagi darah haid terdapat enam nama iaitu:
- 1. Haid iaitu nama yang paling masyhur.
- 2. الطمث dan wanitanya dipanggil طاعت
- 3. العراك dan wanitanya dipanggil عارك
- 4. الشخك dan wanitanya dipanggil ضاحك
- 5. الإخبار dan wanitanya dipanggil مكبر
- 6. الإعصار dan wanitanya dipanggil معصر
CIRI-CIRI DARAH HAID
Darah haid yang dilalui oleh seseorang wanita tidak semestinya berkekalan dalam satu sifat sahaja. Adakalanya terjadi perubahan sifat dan ciri-ciri darah tersebut sepanjang tempoh haidnya.
Adakalanya darah tersebut berwarna hitam atau gelap, merah, perang atau coklat, kuning dan keruh yakni warna antara kuning dan putih. Warna-warna ini adalah berdasarkan pandangan ulama-ulama dalam mazhab al-Syafie.
Manakala ulama dalam mazhab Hanafi mengatakan warna darah haid ialah hitam, merah, kuning, keruh, hijau dan warna seperti tanah.
Apabila seseorang wanita melalui tempoh haid yang biasa dilaluinya maka apa jua warna seperti yang telah disebutkan dikira sebagai darah haidnya.³
Kesimpulannya menurut mazhab al-Syafie warna darah haid ada lima iaitu:
- 1. Hitam/gelap
- 2. Merah
- 3. Perang/coklat
- 4. Kuning
- 5. Keruh (antara kuning dan putih)
Nota:2. Al-Majmu', jilid 2, halaman 378-379.
3. Al-Ihatah bi Ahammi Masail al-Haid wa al-Nifas wa al-Istihadah halaman 7.
TEMPOH HAID
1. Sekurang-kurang Tempoh Haid
Dalam kitab al-Majmu', Imam al-Nawawi menukilkan bahawa Imam al-Syafie menyebutkan dalam kebanyakan kitabnya bahawa sekurang-kurang tempoh haid ialah sehari semalam. Ini adalah pendapat terkuat dalam kalagan fuqaha' al-Syafie yang diistilahkan dengan qaul asah.
Ini bererti darah yang keluar dari faraj wanita sekiranya tidak mencukupi tempoh sehari semalam yang bersamaan dengan 24 jam maka ia bukannya darah haid.
Sayyidina Ali RA menyebutkan: "Sekurang-kurang haid ialah sehari semalam." Ini kerana syarak menetapkan beberapa hukum berkaitan darah haid tetapi tidak menerangkan dengan jelas. Justeru dapatlah difahami bahawa tempoh sekurang- kurang haid itu adalah berbalik kepada uruf. Dalam penelitian ulama memang pernah didapati wanita yang biasa kedatangan haid selama sehari, tetapi tidak ditemui yang kurang daripada itu. Kata Imam al-Syafie: "Aku pernah melihat wanita yang memberitahu dia sentiasa kedatangan haid dalam tempoh sehari dan tidak lebih." Kata 'Ata': "Aku pernah bertemu wanita yang hanya kedatangan haid sehari sahaja." Abdullah al-Zubairi menyebutkan: "Di kalangan wanita-wanita kami ada yang kedatangan haid sehari yakni berserta malamnya." (4)
2. Sebanyak-banyak Tempoh Haid
Sebanyak-banyak tempoh haid ialah lima belas hari lima belas malam (360 jam), sekalipun darah yang keluar itu tidak berterusan dan berselang seli, tetapi kadar keseluruhannya mencapai sehari semalam.
Sayyidina Ali RA menyebutkan: "Darah yang lebih daripada lima belas hari adalah darah istihadah, dan sekurang kurang haid ialah sehari semalam." Kata 'Ata': "Aku pernah bertemu wanita yang haid selama lima belas hari."
Kenyataan ini disokong oleh hadith yang diriwayatkan oleh Abdul Rahman bin Abi Hatim dalam kitab Sunannya bersumber daripada Ibn Umar RA dan diangkatkan kepada Nabi SAW:
النِّسَاءُ نَاقِصَاتُ عَقْلٍ وَدِينٍ. قِيلَ مَا نُقْصَانُ دِينِهِنَّ؟ قَالَ : تَمْكُثُ إِحْدَاهُنَّ شَطْرَ عُمرِهَا لَا تُصَلِّيTerjemahan:Wanita-wanita itu kurang akal dan agamanya. Dikatakan: Apakah maksud kekurangan agama mereka? Jawab baginda: Salah seorang mereka berhenti separuh umurnya tanpa bersolat.
Nota:5. Hadith ini hanya sokongan kepada pendapat yang telah disebutkan. Menurut al-Zarkashi yang menukilkan daripada sekumpulan huffaz yang antara mereka ialah al-Baihaqi, di mana mereka menyatakan, hadith dengan lafaz seperti ini tidak ada asalnya. Hadith yang sahih ialah apa yang diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz yang bermaksud; "Dia menanti beberapa malam tanpa solat dan dia berbuka pada bulan Ramadan. Maka inilah maksud kekurangan agama." (Al-Ihatah)
TEMPOH HAID YANG BIASA
Para fuqaha' mazhab al-Syafie dan Hanbali mengatakan kebiasaan haid yang terjadi ialah enam atau tujuh hari serta malam (144 jam atau 168 jam). Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW kepada Hamnah binti Jahsy tatkala beliau menanyakan masalah itu kepada Baginda SAW, lalu Baginda SAW bersabda:
سَتَحِيضِينَ سِتَّةَ أَيَّامٍ أَوْ سَبْعَةٌ فِي عِلْمِ اللَّهِ ، ثُمَّ اغْتَسِلِي حَتَّى إِذَا رَأَيْتِ أَنَّكِ قَدْ طَهُرْتِ وَاسْتَيْقَنَتِ ، فَصَلِّي أَرْبَعَةٌوَعِشْرِينَ لَيْلَةً، وَأَيَّامَهَا أَوْ ثَلاثًا وَعِشْرِينَ، وَأَيَّامَهَا ، وَصُومِي، فَإِنَّ ذَلِكَ يُجْزِئُكِ ، وَكَذَلِكَ فَافْعَلِي فِي كُلِّ شَهْرٍ كَمَا تَحِيضُ النِّسَاءُ ، وَيَطْهُرْنَ لِمِيقَاتِ حَيْضِهِنَّ ، وَطُهْرِهِنَّTerjemahan:Kamu akan haid selama enam atau tujuh hari dalam pengetahuan Allah. Kemudian mandilah, sehingga apabila kamu rasa telah bersih dan yakin, maka solatlah selama 24 malam dan siangnya atau 23 malam dan siangnya, maka itu telah memadai bagimu. Demikianlah hendaknya kamu lakukan pada setiap bulan sebagaimana wanita-wanita yang haid dan suci pada tempoh haid dan suci mereka. (Hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi. Kata al-Tirmidzi: Hadith hasan sahih)
PANDUAN KIRAAN MINIMUM HAID 24 JAM
Tempoh masa haid berdasarkan hasil kajian dan pemerhatian (istiqra’) oleh Imam Syafi‘i. Had masa yang paling minimum berdasarkan istiqra’ tersebut ialah 24 jam. Minimum haid terbahagi kepada 2 bentuk iaitu :
- Kadar masa selama 24 jam keluar bersambung sehari semalam (أقل فقط)
- Kadar masa selama 24 jam hasil gabungan darah yang keluar terputus-putus atau bercerai dalam tempoh kebiasaan, atau maksimum 15 hari haid. (أَقَلُّ مَعَ غَيْرِهِ مِنْ الْغَالِبِ وَالْأَكْثَر) [2]
Darah yang tidak mencukupi 24 jam setelah digabungkan dalam tempoh 15 hari dikenali darah rosak (fasad) seperti dihukumkan darah istihadah.[3]
Oleh itu, darah yang tidak mencapai kadar sekurang- kurang miminum haid (24 jam) tidak boleh dihukumkan haid.
Jadual 1: Tempoh minima haid 24 jam sehari semalam yang bersambung
Jadual 2: Tempoh minima haid 24 jam darah keluar bercerai yang digabungkan dengan hari-hari lain dalam tempoh kebiasaan, atau maksimum 15.
RUJUKAN:
- [1]Al-Khatib As-Syirbini, Syamsuddin. Mugni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Fazd al-Minhaj ( Dar al-Kutub Ilmiyah. 1994) 1/277
وَهُوَ لُغَةً: السَّيَلَانُ وَشَرْعًا دَمُ جِبِلَّةٍ أَيْ تَقْتَضِيهِ الطِّبَاعُ السَّلِيمَةُ يَخْرُجُ مِنْ أَقْصَى رَحِمِ الْمَرْأَةِ بَعْدَ بُلُوغِهَا عَلَى سَبِيلِ الصِّحَّةِ مِنْ غَيْرِ سَبَبٍ فِي أَوْقَاتٍ مَعْلُومَةٍ
- [2] Al-Bujairimi. Sulaiman Bin Muhammad. Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala-al-Khatib ‘ala Syarh al-Minhaj(1994) 1/132
وَأَقَلُّهُ) زَمَنًا (يَوْمٌ وَلَيْلَةٌ) أَيْ قَدْرُهُمَا مُتَّصِلًا وَهُوَ أَرْبَعٌ وَعِشْرُونَ سَاعَةً (وَأَكْثَرُهُ) زَمَنًا (خَمْسَةَ عَشَرَ يَوْمًا بِلَيَالِيِهَا) وَإِنْ لَمْ تَتَّصِلْ وَغَالِبُهُ سِتَّةٌ أَوْ سَبْعَةٌ كُلُّ ذَلِكَ بِالِاسْتِقْرَاءِ مِنْ الْإِمَامِ الشَّافِعِيِّ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ. الْأَقَلُّ فَقَطْ إلَّا إذَا رَأَتْ أَرْبَعًا وَعِشْرِينَ سَاعَةً عَلَى الِاتِّصَالِ، ؛ لِأَنَّ الْأَقَلَّ لَهُ صُورَتَانِ أَقَلُّ فَقَطْ وَأَقَلُّ مَعَ غَيْرِهِ إمَّا مَعَ الْغَالِبِ أَوْ مَعَ الْأَكْثَرِ اهـ ح ل (قَوْلُهُ: وَإِنْ لَمْ يَتَّصِلْ) أَيْ وَكَانَ قَدْرُ مَجْمُوعِهِ يَوْمًا وَلَيْلَةً. فِي حُصُولِ أَقَلِّ الْحَيْضِ ح ل؛ لِأَنَّ الْأَقَلَّ لَهُ صُورَتَانِ أَقَلُّ فَقَطْ وَأَقَلُّ مَعَ غَيْرِهِ مِنْ الْغَالِبِ وَالْأَكْثَرِ
- [3] al-Bakri al-Dimyati. Abu Bakar Uthman. I’anah al-Thalibin ‘ala Halli al-Faz Fath al-Mu’in, (Dar al-Fikr. 1997) 1/88.
يوم وليلة أي قدرهما مع اتصال الحيض، وهو أربع وعشرون ساعة. خمسة عشر يوما أي بلياليها، وإن لم يتصل، لكن بشرط أن تكون أوقات الدماء مجموعها أربع وعشرون ساعة فإن لم يبلغ مجموعها ما ذكر كأن دم فساد،
Kena faham betul2 ni, untuk kebaikan diri sendiri dan juga anak2.
BalasPadamIlmu yang penting
BalasPadamTq share
BalasPadamI see ... Jadi biasanya 24 jam dan paling lama 15 yaa. Saya sendiri biasanya 2 Minggu, tp itu disebabkan saya pakai IUD , sehingga haid menjadi lama.
BalasPadamTerima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.