Pemberian makanan tambahan kepada bayi di bawah usia 6 bulan sering menjadi topik yang membingungkan bagi ibu bapa, terutamanya apabila bayi mengalami masalah kesihatan tertentu yang memerlukan perhatian khusus.
Bayi yang normal sepatutnya menyusu secara eksklusif dengan susu ibu dalam tempoh enam bulan pertama kehidupan. Namun, dalam situasi perubatan tertentu, seperti galaktosemia, fenilketonuria, atau apabila bayi dilahirkan pramatang, pemberian makanan tambahan bayi menjadi langkah penting untuk memenuhi keperluan nutrisi mereka.
Artikel ini akan mengupas keadaan-keadaan yang membenarkan bayi bawah 6 bulan diberi makanan tambahan, serta garis panduan perubatan yang perlu diikuti oleh ibu bapa.
Keadaan Bayi
1. Bayi yang tidak boleh menyusu dengan susu ibu atau susu lain kecuali rumusan khas:
- Galaktosemia: Bayi memerlukan rumusan khas yang tidak mengandungi galaktosa.
- Penyakit Maple Syrup Urine: Bayi perlu diberi rumusan khas tanpa asid amino leusina, isoleusina, dan valine.
- Fenilketonuria: Rumusan khas tanpa fenilalanin diperlukan; susu ibu boleh diberikan dengan pemantauan teliti.
2. Bayi yang menyusu dengan susu ibu tetapi memerlukan makanan tambahan buat sementara waktu:
- Bayi kurang berat badan: Bayi yang lahir dengan berat kurang daripada 1500g.
- Bayi pramatang: Bayi yang lahir sebelum 32 minggu kehamilan.
- Risiko hipoglisemia: Bayi yang berisiko kerana masalah metabolik atau peningkatan keperluan glukosa, seperti bayi pramatang atau ibu yang menghidap diabetes.
- Pertumbuhan terjejas: Bayi yang di bawah 6 bulan dengan pertumbuhan yang mendatar atau menurun walaupun menyusu dengan berkesan.
Keadaan Ibu
1. Ibu yang tidak boleh menyusukan bayi:
- Menghidap jangkitan HIV
- HTLV-I (Human T-cell Leukaemia Virus).
2. Ibu yang perlu berhenti menyusukan buat sementara waktu:
- Mengalami penyakit kritikal seperti sepsis yang menyebabkan ketidakmampuan menjaga bayi.
- Jangkitan Herpes Simplex Virus Jenis 1 (HSV-1): Luka pada payudara perlu dihindari daripada terkena mulut bayi sehingga luka sembuh sepenuhnya.
3. Ibu yang boleh terus menyusukan walaupun mengalami masalah kesihatan:
- Abses payudara: Penyusuan diteruskan pada payudara yang tidak terlibat, atau selepas rawatan abses.
- Hepatitis B: Bayi perlu diberi vaksin dalam tempoh 48 jam selepas lahir.
- Hepatitis C: Penyusuan boleh diteruskan.
- Mastitis: Penyusuan perlu diteruskan, atau susu diperah untuk mengelakkan keadaan bertambah buruk.
- Tuberkulosis: Ibu dan bayi perlu menjalani rawatan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Kesimpulan
Kesihatan bayi bawah 6 bulan amat bergantung pada pemakanan yang sesuai, sama ada melalui penyusuan susu ibu atau makanan tambahan yang disarankan oleh pakar perubatan.
Keadaan kesihatan seperti bayi pramatang, hipoglisemia, atau masalah metabolik boleh menyebabkan bayi memerlukan pemberian makanan tambahan selain susu ibu.
Justeru, adalah penting bagi ibu bapa untuk mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan bagi memastikan makanan tambahan yang diberikan memenuhi keperluan khusus bayi dan membantu dalam perkembangan mereka yang sihat.
Rujukan
- Garis Panduan Pemberian Makanan Bayi dan Kanak-Kanak Kecil
- https://hellodoktor.com/keibubapaan/kesihatan-anak/kesihatan-anak-lain/galaktosemia-gangguan-genetik-yang-menjejaskan-bayi/
- https://www.nhs.uk/conditions/maple-syrup-urine-disease/
- https://www.cochrane.org/ms/CD001304/CF_menggunakan-diet-untuk-menguruskan-fenilketonuria
Nah setuju. Saya sendiri tak strict sangat hrs breastfeed hingga 6 bulan. Ada kondisi yg memang tidak memungkinkan. Saya sendiri hanya bisa 1.5 bulan breastfeed. Lepas tuh tak bisa Krn kondisi saya tak bagus saat itu. Mau tak mau memang hrs Ada makanan tambahan atau susu khusus supaya bayi saya tidak kekurangan nutrisi
BalasPadamCatat Ulasan
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.