Assalamualaikum
Bismillah
Sejujurnya aku rasa dah lebih 10 tahun aku tak baca novel. Aku sendiri tak ingat bila kali terakhir aku baca novel. Aku ada membaca beberapa buah buku cuma aku dah lama tinggalkan hobi membaca novel sejak aku mula masuk di Universiti.
Antara sebab aku kehilangan minat membaca novel kerana aku mula minat untuk membaca bahan-bahan ilmiah seperti buku motivasi, buku psikologi, buku agama berbanding novel.
Apabila aku balik Sabah, banyak koleksi buku yang aku bongkar balik untuk disedekahkan kepada orang. Aku rasa sayang nak lepaskan tetapi dalam masa yang sama aku rasa sayang dengan buku yang tersusun di rak namun tidak dibaca oleh sesiapa di rumah.
Ketika bercuti di Sabah sebulan aku tiada masa nak kemas dan packing buku-buku novel aku. Tak tahulah bila lagi aku dapat balik.
Beberapa bulan ini aku mengalami masalah "Writer's Block". Hari-hari menghadap skrin digital tetapi langsung tidak menulis apa-apa. Cuma KOSONG.
Akhirnya, aku membuat keputusan untuk kembali membaca novel. Ada beberapa novel yang aku dah pesan di Shopee, seperti Penulis Yang Disayangi Tuhan, Yang Paling Patah Antara Kita, Hiatus, dan De Tour.
Namun, hari ini aku cuma ingin berkongsi review buku Penulis Yang Disayangi Tuhan.
Sinopsis Penulis Yang Disayangi Tuhan
Novel pertama karya Usamah mendapat sambutan yang hangat sampai kehidupannya bertukar menjadi senang dan mewah. Sehinggalah suatu hari, Joe Penapi-seorang pengkritik terkenal mengkritik novel kedua dan ketiga tulisan Usamah hingga menyebabkan jualan novel tersebut jatuh merudum dan syarikat penerbitnya gulung tikar!
Serta-merta, hidup Usamah jatuh miskin hingga dia terpaksa hidup di kawasan setinggan. Semangat menulisnya juga hilang. Usamah mahu keluar daripada kemelut kesusahan ini, lalu dia meminta bantuan Johari Salim, seorang penulis legenda.
Namun hendak mendapatkan semula semangat menulis bukannya mudah. Johari Salim menetapkan syarat pada Usamah untuk bertemu dengan lima bekas penulis hebat bagi mengetahui rahsia mereka. Dalam masa yang sama, jiran-jiran Usamah, warga Indonesia tanpa permit, memerlukan bantuannya daripada terus menjadi mangsa peras ugut.
Dapatkah Usamah mengembalikan semangat menulisnya? Apa rahsia yang dikongsikan lima penulis tersebut? Dan bagaimana pula nasib jiran warga Indonesianya itu?
Review Buku Penulis Yang Disayangi Tuhan oleh Bahruddin Bekri
Siapa sebenarnya yang disayangi Tuhan? Namun, persoalan ini hanyalah permulaan kepada sebuah kisah yang jauh lebih besar…
Tak terungkap perasaan ini selepas menamatkan novel ini. Ini bukan karya Bahruddin Bekri yang pertama aku baca, tetapi kali ini ada sesuatu yang berbeza, seolah-olah setiap helaian membawa aku lebih dekat dengan hati penulis dan dunia yang dia ciptakan.
Buku ini pernah aku pinjam dari perpustakaan, tetapi malangnya tidak sempat habis. Ironinya, kini aku memahami mengapa adik lelaki aku dulu begitu memuji buku ini, terutamanya untuk sesiapa yang mencintai seni penulisan.
Membaca Penulis Yang Disayangi Tuhan seakan-akan menghadirkan diri ke dalam sebuah kelas penulisan yang penuh dengan renungan. Setiap nasihat, setiap teguran yang terselit di antara cerita-cerita ini hadir dengan kelembutan yang menyentuh hati.
Ia bukan sekadar cerita, tetapi sebuah panduan, sebuah pencarian – untuk mereka yang ingin menulis, yang sedang mencari diri sendiri, atau yang sedang mencari jalan untuk kembali mencintai penulisan.
Ilmu yang terkandung dalam buku ini melimpah – dari hal teknikal yang tersurat hingga makna dan tujuan penulisan yang tersirat.
Aku terpikat dengan watak Usamah, seorang penulis yang hilang semangat menulis, dan bagaimana perjalanan mengembalikan rasa itu diceritakan dengan penuh kejujuran. Buku ini mengingatkan kita, bahawa menulis bukan sekadar mencatat kata-kata, tetapi menulis adalah satu proses yang merangkumi jiwa, sabar, dan kesungguhan.
"Mengapa anda melakukan apa yang anda buat sekarang". Pada awal cerita dalam novel ini, aku kurang mengerti maksud soalan ini. Tetapi setelah menghabiskan bacaan, soalan ni membuatkan aku bermuhasabah sendiri.
Antara beberapa petikan dalam novel yang memberi kesan kepada aku:
1. "Perempuan itu aslinya pemalu. Malunya ada pada mata, lalu perempuan pejam. Malu juga ada pada wajah, lalu perempuan tunduk. Perempuan itu juga sangat malu pada lidah, lalu perempuan diam. Lalu di mana perempuan seperti saya mahu memberitahu rasa hati sekiranya wajah tunduk, mata pejam dan lidah diam? Kami hanya mampu mengalirkan rasa hati pada jemari halus kami, iaitu melalui tulisan. Itulah sebab saya di sini, mahu belajar cara menuliskan rasa hati."
2. "Mengapa perlu mengapa? Hati-hati ketika menyoal "mengapa" kerana kadangkala ia memesongkan fikiran daripada haknya, menjadikan ia hilang pertimbangan sisi darpada sunnahnya. Lalu timbullah bicara yang menjadi penambah pada yang tersedia."
3. "Saya hairan, mengapa hanya dalam penulisan, ikhlas menjadi topik yang perlu diumumkan Mengapa kita tidak pernah bertanya kepada petani berkenaan keikhlasan mereka semasa kita menyuap nasi ke mulut? Mengapa kita tidak pernah bertanya kepada nelayan berkenaan keikhlasan mereka? Penulis juga sama seperti mereka, ikhlas mencari rezeki dan mahu menjadi kaya.
Kamu pasti mengerti, yang menentukan ikhlas itu kerja Allah. Manusia tidak ada cara untuk mengetahui keikhlasan seseorang itu. Aturannya, manusia hanya boleh mendakwa sekiranya ada sesuatu yang salah pada perbuatan fizikal manusia lain, namun bukan mendakwa sesuatu yang tidak dia lihat seperti rasa ikhlas dalam hati."
Perkembangan plot cerita mungkin perlahan, namun masih dalam batas kesabaran. Bagi sesiapa yang ingin menikmati bahan bacaan santai, tetapi tetap mahu menyerap ilmu penulisan, aku sarankan untuk membaca ini. Di sebalik ringannya, terselit banyak teknik yang mampu memperkasa gaya tulisan korang.
Deskripsi
- Tajuk: Penulis Yang Disayangi Tuhan
- Penulis: Bahruddin Bekri
- Penerbit: JIWA (JT PUBLISHING HOUSE SDN BHD)
- ISBN: 978-967-18260-9-6
- Tahun: Cetakan 2021, 2022, 2023, 2024
- Bil Muka surat: 388
- Harga : RM28.00
- Boleh dapatkan di shopee, Link https://s.shopee.com.my/6V605yLBM8
Saya malah sampai skr masih sukaaa sangat baca novel . Malah LBH suka novel drpd buku2 non fiction 😅. Mungkin Krn dengan novel, saya bisa berimajinasi lebih. Seolah masuk dalam cerita. Beda feeling-nya ketika membaca buku non fiction.
BalasPadamBelum pernah baca buku dari penulis ini. Saya termasuk rutin beli novel Malaysia tiap kali ke KL atau Penang. Nanti coba nak cari Juga. Kebetulan Dec pun memang nak ke KL lagi
Bukan senang nk jd penulis kn
BalasPadamCatat Ulasan
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.