Berdoa itu sebenarnya satu bentuk ibadah yang sangat istimewa. Allah SWT sangat suka bila hamba-Nya berdoa kepada-Nya. Malah, Allah tak sekadar mendengar doa kita, Dia juga berjanji untuk memberi bonus berupa keampunan dosa kepada sesiapa yang memohon kepada-Nya dengan penuh harapan.
Sabda Nabi SAW:
يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلاَ أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ وَلاَ أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لاَ تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً
Maksudnya: “Wahai anak Adam, selagi kalian berdoa dan berharap kepada-Ku, pasti Aku ampuni dosa yang telah dilakukan dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, sekiranya sampai dosamu setinggi langit kemudian kamu memohon keampunan, nescaya akan Aku ampunkan. Wahai anak Adam, sekiranya kamu datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi dan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu, pasti Aku mendatangimu dengan pengampunan sepenuh bumi.” Riwayat al-Tirmizi (3540) dan Ahmad (21804)
Kenapa Kita Perlu Berdoa?
Berdoa bukan sekadar meminta sesuatu daripada Allah, tapi ia tanda kita sedar siapa kita di hadapan-Nya. Kita ni hamba yang lemah dan bergantung sepenuhnya kepada Allah. Malah, Allah sendiri menyuruh kita berdoa dalam firman-Nya:
"Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina." (QS. Ghafir: 60)
Bayangkan, Allah yang Maha Besar suruh kita berdoa terus kepada-Nya tanpa perlu melalui sesiapa. Tapi kalau kita sombong, tak nak berdoa, Allah anggap itu satu bentuk kesombongan yang akan dihukum dengan neraka. Nauzubillah.
Adab-Adab Dalam Berdoa
Adab dalam berdoa juga sangat ditekankan dalam Islam. Allah SWT menyuruh kita berdoa dengan penuh tadharru' (kerendahan hati) dan khufyah (suara yang lembut).
"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas." (QS. Al-A'raf: 55)
Ini menunjukkan bahawa doa bukan sekadar permohonan, tetapi juga wujud penghambaan dan penghormatan kepada Allah SWT.
Berikut adalah adab-adab penting dalam berdoa:
1. Memilih Waktu yang Mustajab
Doa lebih mudah dikabulkan jika dilakukan pada waktu-waktu tertentu seperti sepertiga malam terakhir, waktu sahur, hari Jumaat, hari Arafah, dan bulan Ramadan.
2. Dalam Keadaan Istimewa
Berdoalah pada saat-saat istimewa seperti ketika bersujud, semasa hujan turun, selepas iqamah solat, atau ketika dua pasukan berhadapan di medan perang.
3. Menghadap Kiblat dan Mengangkat Tangan
Menghadap kiblat, mengangkat tangan ketika berdoa, dan mengusap wajah selepasnya adalah sunnah yang menunjukkan etika dan keistimewaan doa dalam Islam.
4. Menjaga Tekanan Suara
Berdoalah dengan suara yang sederhana—tidak terlalu kuat atau terlalu perlahan—dan penuh pengharapan kepada Allah SWT.
5. Tidak Berlebihan dalam Kata-Kata
Hindari sikap putus asa seperti berkata, "Aku telah berdoa tetapi tidak dikabulkan." Doa tidak perlu terlalu puitis, cukup dengan makna yang jelas dan tulus.
6. Khusyuk, Takut, dan Tunduk kepada Allah
Ketiga-tiga elemen ini adalah bukti penghambaan diri kepada Allah SWT. Berdoalah dengan hati yang tenang dan penuh rasa rendah diri.
7. Yakin dalam Berdoa
Ketika berdoa, yakinlah bahawa doa tersebut akan dikabulkan. Percayalah bahawa apa sahaja yang diberikan oleh Allah adalah yang terbaik untuk kita.
8. Istiqamah
Jangan cepat berputus asa jika doa lambat dikabulkan. Allah menguji kesabaran kita, dan apabila doa diterima, bersyukurlah dengan sepenuh hati.
9. Memulakan Doa dengan Zikir dan Selawat
Mulakan doa dengan memuji Allah, berzikir, dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Ini akan menambah keberkatan doa kita.
10. Bertaubat
Sebelum berdoa, mohonlah ampun kepada Allah atas segala dosa. Taubat menunjukkan keinsafan dan membuat doa lebih mudah diterima.
Jangan Pernah Malu atau Malas Berdoa
Kadang-kadang kita rasa malu nak berdoa sebab rasa diri ni penuh dosa. Tapi sebenarnya, lagi banyak dosa kita, lagi kita kena dekatkan diri kepada Allah. Allah sentiasa tunggu hamba-Nya untuk meminta ampun dan berdoa.
Jadi, jangan pernah berhenti berdoa, walaupun doa kita belum dikabulkan. Sebab Allah tahu bila masa yang terbaik untuk beri apa yang kita minta, atau mungkin Dia akan ganti dengan sesuatu yang lebih baik.
Kesimpulan
Berdoalah kepada Allah dalam apa jua keadaan, sama ada waktu senang atau susah. Jadikan doa itu rutin harian, bukan sekadar bila kita perlukan sesuatu. Ingat, Allah itu Maha Pemurah, dan Dia suka kepada hamba-Nya yang selalu berdoa kepada-Nya.
Semoga kita semua jadi hamba yang sentiasa bergantung kepada Allah dan tak pernah putus harapan. Aamiin.
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.