Pernahkah korang mengalami mimpi yang begitu nyata sehingga emosi dalam mimpi itu terbawa-bawa ke dunia nyata? Bagi sesetengah orang, mimpi mungkin sekadar mainan tidur, tetapi ada kalanya ia menjadi cerminan emosi dan harapan yang terpendam jauh di dalam hati.
Dari sudut psikologi, mimpi menangis biasanya menunjukkan emosi yang terpendam atau masalah yang belum selesai dalam kehidupan harian. Ia boleh menjadi tanda perasaan sedih, stres, atau tekanan yang dialami.
Mimpi ini juga membantu seseorang melepaskan emosi negatif yang disimpan lama, sebagai cara untuk mencapai keseimbangan emosi dan merasa lebih tenang.
Sumber imej Freepik
Mimpi Tentang Arwah: Rindu yang Tidak Pernah Padam
Salah satu mimpi yang menyentuh hati adalah mimpi tentang orang tersayang yang telah pergi ke negeri abadi. Dalam mimpi ini, aku bertemu arwah atok yang telah lama pergi. Beliau meninggalkan sepucuk surat pesanan, tetapi anehnya, aku tidak dapat mengingat apa isi pesanan itu.
Namun, perasaan sedih yang mendalam menyelubungi diri. Aku rindu untuk mendengar suara beliau, nasihatnya, dan merasakan kehadirannya sekali lagi. Mimpi ini membuatkan aku terjaga dengan linangan air mata, seolah-olah rindu itu tidak pernah hilang walau masa terus berlalu.
Inilah pertama kali dalam hidup aku menangis teresak-esak kerana mimpi. Walaupun sudah 13 tahun berlalu tetapi perasaan itu seperti baru semalam.
Mimpi Kehamilan: Harapan yang Tidak Pernah Luntur
Tahun lalu, sekitar bulan Oktober aku bermimpi tentang satu berita gembira – aku mengandung. Dalam mimpi itu, perasaan gembira dan syukur bercampur-baur dengan rasa sebak. Betapa lamanya kami menanti saat ini, hingga ia menjadi mimpi yang sangat nyata. Aku rasa mimpi seperti realiti.
Namun, apabila terjaga, air mata masih mengalir kerana perasaan gembira dan syukur. Apabila aku menyedari bahawa semua itu hanyalah mimpi. Perasaan kecewa itu sukar digambarkan, tetapi ia juga menjadi pengingat bahawa harapan sentiasa ada.
Mimpi seperti ini mungkin kelihatan sederhana bagi sesetengah orang, tetapi bagi aku, ia membawa makna yang mendalam.
Mimpi Menurut Perspektif Islam
Pada asasnya, terdapat beberapa jenis mimpi yang dialami oleh seseorang Muslim. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada ‘Auf bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ : مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ ، وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ الرَّجُلُ فِي يَقَظَتِهِ ، فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ ، وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ
Maksudnya: “Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam; Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.” Riwayat Ibn Majah (3907)
Daripada hadis di atas dapat difahami bahawa mimpi yang datang kepada seseorang itu terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
- Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk menimbulkan keresahan kepada seseorang.
- Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan oleh seseorang ketika jaga. Apabila tidur lalu terbawa-bawa perkara tersebut dalam mimpinya.
- Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian. Atau mimpi ketuhanan iaitu yang datang dan ilham daripada Tuhan.
Bagi seseorang yang bermimpi yang baik maka perkara yang pertama dia memohon kepada Allah dan jika sekiranya tidak baik maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada Allah SWT.
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”
Walaupun ia hanya berlaku di alam bawah sedar, mimpi itu memberikan aku kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan dengan harapan dan doa yang tidak pernah putus.
Buat mereka yang pernah merasa kehilangan, semoga Allah tempatkan mereka dalam kalangan orang yang dikasihi-Nya. Buat mereka yang masih menanti, semoga Allah permudahkan jalan dan kabulkan doa-doa mereka. Aamiin...
Sumber Rujukan
pernah. tapi tak ingat. masa kecil2 dulu lah
BalasPadamTerima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.