Setiap insan pasti mengimpikan keselamatan daripada azab neraka dan berharap mendapat tempat di syurga Allah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Ibnu Hiban, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah memberikan satu petunjuk yang jelas tentang golongan yang diharamkan disentuh oleh api neraka:
"Mahukah kalian Aku tunjukkan orang yang haram baginya tersentuh api neraka?"
Para sahabat berkata, "Mahu, wahai Rasulullah!"
Lalu Baginda bersabda:
"Yang haram tersentuh api neraka adalah orang yang Hayyin, Layyin, Qarib, dan Sahl."
Maka, siapakah mereka ini? Mari kita fahami maksud empat sifat yang disebutkan oleh Rasulullah ﷺ dalam hadis ini.
4 Golongan Manusia yang Haram Disentuh Api Neraka
1️⃣ Hayyin (حَيِّن) – Tidak Mudah Marah
Golongan ini memiliki sifat tidak mudah marah. Orang yang memiliki sifat Hayyin juga tidak suka mengutuk kelemahan dan keburukan orang lain. Jiwanya sangat lapang dan tenang. Dalam Surah Asy-Syura, Ayat 37, maksudnya:
Islam mengajar kita supaya mengawal kemarahan, memaafkan orang lain, dan bersabar dalam setiap situasi. Orang yang dapat mengawal marah bukan sahaja dicintai oleh Allah, tetapi juga akan mendapat ketenangan hidup dan dihormati oleh orang sekeliling.
2️⃣ Layyin (لَيِّن) – Sopan dan Lembut Berbicara
Layyin merujuk kepada orang yang berhati lembut, sopan, dan baik dalam kata-katanya. Mereka tidak bersikap kasar atau suka menyakiti perasaan orang lain. Orang yang memiliki sifat Layyin juga sentiasa mahu kebaikan untuk orang lain. Tidak marah dengan mudah jika berbeza pendapat.
Sifat ini amat dituntut kerana Islam adalah agama kelembutan. Rasulullah ﷺ sendiri adalah seorang yang sangat lemah lembut dalam berbicara dan berurusan dengan orang lain. Baginda bersabda:
“Sesungguhnya Allah Maha Lembut dan mencintai kelembutan dalam setiap urusan“. [HR Bukhari no: 6024, Muslim no: 2165]
Orang yang memiliki sifat layyin mudah memaafkan, tidak berdendam, dan tidak bersikap keras terhadap orang lain.
3️⃣ Qarib (قَرِيب) – Ramah dan Mudah Didekati
Qarib bermaksud seseorang yang mempunyai sikap murah dengan senyuman, mesra dan akrab terhadap orang lain. Orang melihat wajahnya yang berseri dan selalu menyampaikan salam.
Daripada Yahya bin Watsab dari seorang syeikh salah seorang sahabat Rasulullah dari Nabi SAW baginda bersabda: “Jika seorang muslim bergaul (berinteraksi sosial) dengan orang lain dan bersabar atas gangguan mereka, adalah lebih baik daripada seorang muslim yang tidak bergaul (tidak berinteraksi sosial) dengan orang lain dan tidak bersabar atas gangguan mereka.”Ibnu Abi Adi berkata: Syu’bah berpendapat syeikh itu adalah Ibnu Umar. (Sunan Tirmizi No: 2431) Status: Hadis Sahih
4️⃣ Sahl (سَهْل) – Mudah Berurusan dan Tidak Menyusahkan
Sahl bermaksud orang yang tidak suka menyusahkan orang lain dan mudah dalam urusan. Dia tidak cerewet, tidak suka merumitkan sesuatu, serta berusaha mempermudahkan urusan orang lain.
Islam mengajar kita untuk bersikap mudah, tidak menyulitkan, dan membantu dalam apa jua perkara, sama ada dalam urusan agama atau kehidupan seharian.
Dari Anas bin Malik dari Nabi SAW, baginda bersabda: Permudahlah dan jangan menyukarkan, berilah khabar gembira dan jangan membuat orang lari (menjauh). (HR Bukhari No: 67) Status: Hadis Sahih
Kesimpulan
Empat sifat ini — Hayyin, Layyin, Qarib, dan Sahl — bukan sahaja menjadikan seseorang lebih baik di sisi manusia, tetapi juga menjadikannya insan yang diharamkan dari disentuh oleh api neraka. Sifat-sifat ini mengajarkan kita untuk menjadi lebih tenang, lemah lembut, peramah, dan mudah dalam urusan.
Marilah kita sama-sama berusaha mengamalkan sifat-sifat ini dalam kehidupan seharian agar kita termasuk dalam golongan yang dijauhkan dari azab neraka dan diredhai oleh Allah SWT.
Semoga kita semua sentiasa berada dalam rahmat-Nya dan diberikan peluang untuk menjadi hamba yang layak menghuni syurga-Nya, amin ya Rabbal ‘Alamin.
Rujukan:
- Universiti Teknologi Malaysia (Baharin Mesir)
- Facebook Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
- Universiti Teknologi Malaysia (Siti Zaleha Omain)
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.