Type Here to Get Search Results !

Amalkan Doa Nabi Zakaria untuk Dapat Zuriat dan Keturunan Yang Baik

Semua orang menginginkan zuriat yang baik, soleh dan mampu memberi manfaat kepada kehidupan sama ada di dunia ini mahupun di akhirat kelak. Doa Nabi Zakaria adalah antara doa yang dianjurkan untuk memohon keturunan yang baik.

Doa anak yang soleh akan menjadi salah satu saham akhirat selain daripada sedekah jariah dan juga ilmu yang bermanfaat. Oleh itu, penting bagi ibu bapa untuk mendidik anak dan zuriat dengan didikan yang baik serta mengamalkan doa yang diajarkan dalam Islam.

Doa Nabi Zakaria untuk Dapat Zuriat

Doa Nabi Zakaria untuk Keturunan yang Baik

Berikut adalah doa yang diajar oleh Nabi Zakaria AS untuk mendapatkan zuriat dan keturunan yang baik, sama ada zuriat itu belum lahir atau sudah dilahirkan.

Doa tersebut berbunyi:

رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ
"Rabbi hab li min ladunka zurriyyatan tayyibah, innaka sami'ud du'a."

Maksud:

"Ya Rabb, Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan." (Surah Al-Imran, 3:38)



Cara Mengamalkan Doa Ini 

  • Baca doa ini setiap kali selepas solat fardu.
  • Amalkan dengan penuh keyakinan dan keikhlasan.
  • Selitkan doa ini dalam doa harian terutama ketika waktu mustajab seperti selepas solat tahajud dan ketika sujud.

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Pemurah. Dengan mengamalkan doa ini, semoga zuriat yang kita lahirkan mampu menjadi manfaat bukan sahaja kepada kita, namun kepada Islam dan umat manusia.


Amalan Lain untuk Mendapatkan Keturunan yang Soleh 

1. Selalu Beristighfar 

Memohon ampun kepada Allah membuka pintu rezeki, termasuk rezeki zuriat yang baik.

"Maka aku berkata (kepada mereka), ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun serta mengalirkan sungai-sungai untukmu." (Surah Nuh, 71:10–12)



2. Perbanyakkan Sedekah

Sedekah dapat membersihkan hati dan memudahkan terkabulnya doa.

Perkara yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantikannya. Dan Dialah sebaik-baik Pemberi rezeki." (Surah Saba', 34:39)

Allah menjanjikan bahawa harta yang diinfaqkan akan diganti dengan lebih baik, menggalakkan kita untuk bersedekah tanpa takut kekurangan. Semoga dengan sedekah digantikan dengan rezeki zuriat yang baik.

3. Solat Hajat dan Solat Dhuha

Solat Hajat khusus untuk memohon sesuatu hajat daripada Allah, termasuk zuriat. Solat Dhuha pula adalah untuk meluaskan rezeki.

"Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya yang demikian itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk." (Surah Al-Baqarah, 2:45)

Daripada Abi Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى

Maksudnya: “Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha.” [Riwayat Muslim (720)]


Yakinlah pada Kuasa Doa

Amalkan Doa Nabi Zakaria ini dengan penuh keyakinan. Jangan putus asa kerana setiap doa pasti didengar oleh-Nya. Kongsikan artikel ini dengan mereka yang sedang menanti zuriat, semoga menjadi asbab kebaikan buat semua.

Wallahu a’alam.


Rujukan

Catat Ulasan

0 Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad

Below Post Ad