
Apa Itu Sibutramine?
Sibutramine adalah sebatian kimia yang bertindak sebagai pemendam selera makan. Dahulu, ia digunakan secara meluas dalam ubat pelangsingan badan. Namun, akibat kesan sampingan serius yang boleh meningkatkan risiko serangan jantung dan strok, penggunaannya telah diharamkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta banyak negara lain.
Sibutramine dikawal di bawah Akta Racun 1952, dan temasuk dalam senarai ‘Group B Poison’. Sibutramine telah diluluskan untuk digunakan sebagai terapi obesiti di Amerika Syarikat pada tahun 1997. Namun begitu, kelulusan ini telah ditarik balik pada tahun 2010 kerana peningkatan risiko kejadian serangan jantung.
Kenapa Sibutramine Bahaya?
Walaupun tidak lagi berdaftar, terdapat produk pelangsingan di pasaran yang masih dicemari dengan bahan ini. Pengguna yang tidak menyedari kandungannya mungkin terdedah kepada kesan sampingan seperti:
- Degupan jantung yang laju (tachycardia)
- Risiko serangan jantung dan strok
- Tekanan darah tinggi
- Gangguan emosi dan perubahan mental
- Mulut kering, mual, sembelit, dan sukar tidur
Sibutramine Dalam Produk Pelangsingan
Ramai pengguna teruja dengan janji produk pelangsingan yang memberikan kesan pantas. Malangnya, banyak produk ini mengandungi sibutramine secara haram.
Kajian menunjukkan bahawa pengambilan bahan ini tanpa pemantauan perubatan boleh membawa maut. Oleh itu, penting untuk memeriksa status pendaftaran produk di portal rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di https://npra.gov.my/index.php/en/ sebelum membeli.
Dibawah seksyen 13, Akta Makanan 1983, menyatakan mana-mana orang yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang mengandungi bahan beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan boleh disabitkan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Cara Selamat untuk Kurus
Jika anda ingin menurunkan berat badan, pilihlah kaedah yang selamat:
- Amalkan Pemakanan Seimbang – Kurangkan gula dan makanan berlemak, lebihkan serat dan protein.
- Bersenam Secara Konsisten – Aktiviti fizikal seperti berjalan kaki atau bersenam 30 minit sehari membantu proses pembakaran kalori.
- Dapatkan Nasihat Pakar – Jika perlu, rujuk doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang produk pelangsingan.
KKM menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan produk kurus yang menjanjikan kesan segera. Jika mengalami kesan sampingan mencurigakan selepas mengambil sesuatu produk, segera hentikan penggunaannya dan dapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.
Sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800-88-6722.
Pengguna boleh menghubungi Makmal Toksikologi, Pusat Racun Negara ditalian 04-653 2171 atau melalui emel prnlab@usm.my untuk maklumat lanjut.
Kurus itu impian, tetapi kesihatan lebih utama! Jangan terperangkap dengan janji manis produk berbahaya. Pilih cara yang sihat dan selamat untuk mencapai berat badan ideal.
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.