Peristiwa Nuzul Al-Quran
Wahyu pertama yang diturunkan, Allah SWT berfirman:Maksudnya: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (Surah Al-'Alaq, ayat 1-5)Turunnya wahyu ini merupakan titik perubahan dalam sejarah Islam kerana ia menjadi petunjuk utama bagi umat manusia.
Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun bagi membimbing manusia ke jalan kebenaran. Ia bukan sekadar kitab suci, tetapi juga manual lengkap yang merangkumi aspek akidah, syariat, akhlak, ekonomi, kepimpinan, dan perhubungan sesama manusia.
Ramadan dan Nuzul Al-Quran
Bulan Ramadan bukan sahaja dikenali sebagai bulan berpuasa, tetapi juga sebagai bulan Al-Quran. Allah SWT berfirman:Maksudnya: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk serta perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (Surah Al-Baqarah ayat 185)
Ayat ini menunjukkan keistimewaan Ramadan kerana menjadi bulan permulaan wahyu diturunkan. Rasulullah SAW juga memperbanyakkan bacaan Al-Quran pada bulan ini dan mengulanginya bersama Malaikat Jibril setiap malam.
Keutamaan Membaca dan Menghayati Al-Quran
Sebagai umat Islam, kita diseru untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan. Terdapat hadis yang menekankan keutamaan membaca Al-Quran walaupun dengan kesukaran:"Seorang yang mahir dalam membaca Al-Quran akan bersama malaikat yang mulia. Sementara yang membaca dengan tersekat-sekat dan merasa sukar tetap mendapat dua ganjaran." (Hadis Riwayat Muslim)Hadis ini memberi semangat kepada mereka yang masih belajar membaca Al-Quran agar tidak berputus asa. Keberkatan Ramadan adalah peluang terbaik untuk meningkatkan pemahaman dan penghayatan terhadap kitab suci ini.
Kelebihan Membaca Al-Quran Menurut Hadis
Kepentingan dan manfaat al-Quran digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis berikut:1. Al-Quran Sebagai Syafaat
Daripada Abu Umamah RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ
Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya”. [Riwayat Muslim (804)]
2. Diliputi Rahmat dan Didoakan Malaikat
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ، لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ
Maksudnya: “Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya menyebut-nyebut mereka. Dan barangsiapa yang amalnya perlahan, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu”. [Riwayat Muslim (2699)]
3. Setiap Huruf Mendapat Pahala
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. [Riwayat al-Tirmizi (2835)]
4. Kemuliaan Pembaca Al-Quran
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ: اقْرَأْ، وَارْتَقِ، وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا
Maksudnya: “Dikatakan kepada pembaca al-Quran: Bacalah dan naiklah, bacalah sebagaimana kamu membacanya di dunia. Sesungguhnya tempat kamu(di Syurga) adalah pada ayat terakhir yang kamu bacakannya”. [Riwayat Abu Daud (1464)]
Al-Quran sebagai Petunjuk Hidup
Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi untuk difahami dan diamalkan. Al-Quran menjadi panduan bagi seluruh kehidupan manusia, termasuk dalam aspek:
- Akidah – Mengenali Allah dan memperkukuh keimanan.
- Syariat – Panduan hukum hakam dalam kehidupan seharian.
- Akhlak – Membentuk peribadi mulia berdasarkan ajaran Islam.
- Muamalat – Prinsip dalam perniagaan dan urusan ekonomi.
- Munakahat – Garis panduan perkahwinan dan kekeluargaan.
Al-Quran juga menjadi sumber kekuatan umat Islam dalam menghadapi cabaran dunia, termasuk kezaliman dan penindasan seperti yang berlaku di Palestin. Oleh itu, kita diseru untuk mendoakan kesejahteraan saudara kita di sana dan memohon pertolongan daripada Allah SWT.
Kesimpulan
Peristiwa Nuzul Quran memberi pengajaran besar kepada kita bahawa Al-Quran adalah mukjizat yang kekal hingga ke hari kiamat. Sebagai umat Islam, kita perlu:
- Mempercayai dan mengimani Al-Quran sebagai wahyu Allah yang benar.
- Memperbanyakkan membaca dan memahami Al-Quran, terutama di bulan Ramadan.
- Menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup agar tidak terpesong dari ajaran Islam.
- Berdoa untuk umat Islam yang tertindas seperti saudara kita di Palestin, kerana Al-Quran juga menyeru kepada keadilan dan keamanan.
Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendapat syafaat daripada Al-Quran di hari akhirat nanti. Amiin.
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.