BIODATA PERIBADI
YABhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau merupakan anak sulung kepada Haji Ahmad Bin Haji Abdullah Fahim atau lebih dikenali sebagai Ahmad Badawi dan Datuk Khailan Binti Haji Hassan.
Tun Abdullah berasal daripada keturunan keluarga ulama terkenal di Pulau Pinang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam, Kepala Batas (1947-1950) hingga darjah empat dan kemudiannya meneruskan persekolahannya di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang untuk pengajian diperingkat Tingkatan Enam.
Pada tahun 1957, semasa berada di tingkatan lima beliau telah dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Pulau Pinang dan Seberang Prai (PPMPPSP). Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya, amat aktif dalam isu-isu pendidikan orang Melayu, pada tahun 1962 beliau telah dilantik sebagai Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan seterusnya pada tahun 1964 beliau telah berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam.
Tun Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah Tun Endon Mahmood (24 Disember 1940 – 20 Oktober 2005) dan Tun Jeanne Abdullah
KERJAYA DAN KEJAYAAN
- Penolong Setiausaha, Jabatan Perkhidmatan Awam 1964
- Ahli Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) 1969
- Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 1974
- Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 1974
- Ahli Parlimen Kepala Batas 1978
- Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan 1978
- Ketua UMNO Cawangan Bertam 1979
- Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas 1979
- Timbalan Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan 1980
- Ahli Majlis Tertinggi UMNO 1981
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri 1981
- Menteri Pendidikan 1984
- Naib Presiden UMNO 1984
- Menteri Pertahanan 1986
- Ketua Delegasi UMNO ke Jawatankuasa Perundingan Ekonomi Negara/Pengerusi Jawatankuasa Penyusunan Semula Masyarakat. 1990
- Menteri Luar Negeri 1991
- Ahli Majlis Tertinggi UMNO 1993
- Naib Presiden UMNO 1996
- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang. 1998
- Timbalan Perdana Menteri Malaysia 1999
- Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). 1999
- Timbalan Presiden UMNO 2000
- Perdana Menteri Malaysia yang kelima 2003
- Presiden UMNO 2004
PENGLIBATAN POLITIK
Tun Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Beliau mula bergerak aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas pada tahun 1978 dan berjaya mengekalkan kerusi parlimen tersebut sehingga tahun 2013.
Tun Abdullah menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO semenjak 1981. Beliau telah dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987 dan 1990, dan dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO Tahun 2000, Tun Abdullah telah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 – 2003.
Tun Abdullah meletakkan jawatan dalam perkhidmatan awam dan bertanding sebagai ahli Parlimen Kepala Batas pada Pilihanraya 1978 dan menang dengan majoriti. Pada tahun 1987, UMNO mencatat sejarah akibat berlaku perebutan kuasa di peringkat tertinggi di antara Tun Mahathir (Presiden UMNO pada ketika itu) dengan Tengku Razaleigh Hamzah.
Tun Abdullah turut sama terheret dalam perebutan kuasa ini. Beliau telah memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh dalam perebutan itu yang turut memberi kesan kepada kariernya dalam politik. Tun Abdullah tidak dilantik dalam kabinet baru Tun Dr Mahathir Mohamad. Walau bagaimanapun kesetiaan beliau terhadap perjuangan UMNO tetap utuh dan terus kekal.
PENGLIBATAN NGO/AWAM
Selepas bersara sebagai Perdana Menteri, YABhg. Tun Abdullah telah giat aktif bersama NGO Awam. Beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Institut ini ialah satu badan yang ditubuhkan untuk memberi kefahaman Islam yang sebenarnya demi menjaga kesucian ajaran Islam yang sebenar tanpa menyentuh perkara-perkara retorik atau menyimpang dari jalan yang ditetapkan.
Beliau juga pernah menjadi penaung Institut Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) yang ditubuhkan oleh beliau pada tahun 2009. Institut ini menjadi saluran utama kepada pelajar aliran Arab/Agama untuk meneruskan pengajian ke peringkat pengajian tinggi serta bertujuan untuk meninggi dan mendalamkan ilmu pengetahuan umat Islam di bidang keagamaan di negara ini.
Tun Abdullah juga dulunya adalah penaung pengasas untuk Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang merupakan inisiatif Malaysia ke arah meningkatkan lagi kerjasama ekonomi di kalangan negara-negara Islam untuk menerokai peluang bagi meningkatkan lagi kerjasama ekonomi dalam kalangan mereka.
Tun Abdullah juga pernah memainkan peranan penting sebagai penasihat kerajaan iaitu penasihat pembangunan koridor Malaysia dan penasihat Malaysia Airlines. Diperingkat antarabangsa, Tun Abdullah dulunya adalah ahli InterAction Council, ahli lembaga BOAO Forum untuk Asia (BFA) dan pengerusi Commonwealth Eminent Person Group dari tahun 2010 hingga 2011. Beliau juga adalah salah seorang ahli pengasas Asian Peace and Reconciliation Council (APRC).
Maklumat Lanjut:
Tun Abdullah Ahmad Badawi Meninggal Dunia pada Usia 85 Tahun
Bekas Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, malam ini.
Perkara ini disahkan oleh menantu beliau, Khairy Jamaluddin, menerusi satu hantaran di media sosial yang memaklumkan bahawa Allahyarham, yang mesra dikenali sebagai 'Pak Lah', meninggal dunia pada jam 7.10 malam.
Tun Abdullah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia dari tahun 2003 hingga 2009, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad. Sepanjang tempoh pentadbirannya, beliau dikenali sebagai pemimpin yang berhemah, sederhana, dan mengutamakan pendekatan Islam Hadhari dalam tadbir urus negara.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan roh orang-orang yang beriman serta beramal soleh. Al-Fatihah.
Terima kasih kerana singgah ke Blog Sii Nurul. Jika ada sebarang pertanyaan, komen, penambahbaikan, cadangan mahupun pandangan. Boleh tinggalkan jejak anda.